SEREMBAN - Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Rembau, Mohd Effendi Mat Aris mendakwa, wujud ‘tangan ghaib’ cuba campur tangan dalam pemilihan PKR di kawasan itu kali ini.

Menurutnya, khabar angin mengatakan yang individu berkenaan sanggup menaja pasukan tertentu mengalahkan pasukan calon PKR PRU14 Dun Rantau, Dr S Streram yang bertanding merebut jawatan Naib Ketua Cabang Rembau.

“Dengarnya individu itu risau akan berlaku kebangkitan PKR di Rembau, jika pasukan Streram memenangi semua jawatan dalam pemilihan kali ini.

“Saya tiada bukti, tapi isu ini mula diperkatakan di kawasan Rembau. Jika khabar angin itu sememangnya benar, ia sesuatu yang tak sepatutnya kerana seperti membelot parti,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, setiap calon yang bertanding sepatutnya memastikan pemilihan berlangsung dalam keadaan sihat demi masa depan parti yang lebih gemilang.

Tegasnya, menang atau kalah adat pertandingan dan jika tidak bersedia menghadapinya, jalan terbaik adalah dengan undur diri.

“Apa masalahnya Streram bertanding di Rembau? Beliau sebelum ini calon PKR Dun Rantau pada PRU14.

“Jangan disebabkan beliau berbangsa India, ia dijadikan isu. Lagipun PKR bukan parti untuk orang Melayu, tapi untuk semua kaum,” katanya.

Sementara itu, beliau yang pertama kali bertanding jawatan Ketua AMK Cabang Rembau berkata, jika menang dalam pemilihan ini beliau akan mewujudkan gerakan merampas Rembau daripada Umno pada PRU15.

Katanya, siapa yang menerajui kepimpinan Rembau adalah penentu kepada masa depan parti itu di kawasan berkenaan yang masih menjadi kubu kuat Umno di Negeri Sembilan.

“Dua tokoh penting dalam Umno ada di kawasan Rembau iaitu Khairy Jamaluddin (Abu Bakar) yang merupakan Ahli Parlimen Rembau dan Adun Rantau ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Sebab itu Rembau perlukan jentera yang kuat dan bagi kami kumpulan Streram paling terbaik, lebih-lebih lagi ia melibatkan golongan profesional,” katanya.