SEREMBAN - Tindakan seorang agamawan di negara ini yang didakwa seperti cuba mempertikaikan motif perjuangan Leftenan Adnan Saidi dan rakan sepasukan dalam Pertempuran Bukit Candu pada 14 Februari 1942 bukan sahaja disifatkan sebagai kurang bijak, malah menggambarkan kedangkalannya terhadap sejarah.

Demikian pandangan Presiden Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria terhadap kenyataan dikeluarkan oleh tokoh berkenaan di laman media sosial Facebook yang mula menjadi tular hingga mendapat kecaman netizen khususnya dalam kalangan bekas perajurit, baru-baru ini.

"Beliau tidak boleh bandingkan situasi sekarang dengan situasi pada tahun 1944 dan 1933 apabila Rejimen Askar Melayu ditubuhkan. Keadaannya jauh berbeza masa kita dijajah.

"Walaupun dulu kita berada di bawah jajahan kuasa asing sejak kejatuhan Melaka sampailah kepada kedatangan Belanda dan British, Tanah Melayu tetap tanah air kita dan kita mesti pertahankan.

"Takkanlah kita hendak biarkan saja bila Jepun datang menyerang? Sebab Jepun bukan sekadar mahu tawan Tanah Melayu, tapi seluruh jajahan di Asia Tenggara," katanya.

Justeru, kata Razali, tokoh ilmuan terbabit tidak sepatutnya berbuat demikian kerana tindakan sebegitu jelas menunjukkan beliau memperkecilkan sumbangan perajurit terhadap negara sejak sekian lama.

"Apa rasionalnya beliau timbulkan perkara itu? Adakah untuk meraih publisiti murahan? Hendak dijadikan isu atau hendak jadi ahli politik? Kalau hendak berpolitik, maka masuklah bidang politik dan jangan dilibatkan agama.

"Saya minta beliau sebagai seorang yang dikatakan ulama, kalau tidak tahu sejarah perjuangan misalnya asal-usul tentera British berada di Malaya dan kenapa Jepun langgar Malaya, elok tidak payah komen.Seeloknya komen saja bab agama.

"Jangan timbulkan kemarahan dan kebencian orang ramai, terutama askar Melayu yang berjuang bermati-matian. Hormatilah perasaan balu dan anak cucu perajurit, termasuk juga polis," katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Melalui kenyataan yang tular di internet, agamawan terbabit seolah-olah menganggap perjuangan Leftenan Adnan dan rakan sepasukan menentang penjarahan Jepun hanya kerana menjalankan tugas sebagai benteng pertahanan British dan bukan atas dasar cintakan negara.

Beliau juga mempunyai tanggapan bawah pihak British dan orang Cina akan terusir dari Singapura dan Tanah Melayu sekiranya Jepun berkuasa. 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEKAN - Inisiatif menyusuri Sungai Pahang hingga ke Melaka melalui Program Ekspedisi Menyusuri Laluan Penarikan Bersejarah Di Dalam Tamadun Awal Melayu, bermula semalam, mampu menyokong dan mencungkil kembali fakta serta lokasi sejarah tinggalan zaman kegemilangan Hang Tuah di negara ini.
  • BALING - Sebuah kapal dagang zaman lampau dipercayai tertanam di sebuah kebun getah di Kampung Asam Jawa, di sini.
  • PEKAN - Kerajaan negeri menganggarkan perutukan sebanyak RM15 juta diperlukan bagi mewujudkan cadangan pembinaan 'Street Museum' di kawasan sekitar Jalan Masjid, di Kuantan.
  • SEREMBAN - Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dan Jabatan Warisan Negara sedang menjalankan penyelidikan dan pendokumentasian bergambar bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul yang terletak di Jalan Tan Sri Manickavasagam, di sini.