JEMPOL - Masjid Kariah Felda Serting Hilir Kompleks bukan saja menyediakan kemudahan kepada penduduk setempat untuk beribadat, malah pengurusan masjid turut kreatif dengan menyediakan kemudahan homestay atau inap desa untuk disewa orang ramai.

Pengerusinya, Jauri Markom berkata, inap desa yang siap dibina pada Oktober lalu sudah beroperasi sepenuhnya.

Beliau berkata, ia dibina di belakang pejabat pengurusan masjid dengan kadar sewa dikenakan sebanyak RM180 semalam.

Menurutnya, persetujuan untuk membina rumah rehat berkenaan adalah bertujuan untuk mengumpul wang tambahan serta menawarkan kemudahan kepada pihak memerlukan.

"Kadang kala ada orang luar sukar mencari penginapan. Oleh itu kami memilih menyediakan perkhidmatan tersebut secara tak langsung dapat memperkenalkan masjid kami kepada masyarakat luar," katanya.

Selain inap desa, katanya, pihaknya turut mengusahakan projek tanaman sawit di atas tanah wakaf seluas kira-kira 5.4 hektar.

"Kita sendiri yang selia projek itu bermula sekitar Disember 1997 dan mula mengeluarkan hasil pada Oktober 2011.

Selain itu, masjid berkenaan juga turut dilengkapi pusat tahfiz untuk anak-anak tempatan, khasnya Felda yang kini mempunyai seramai 42 pelajar lelaki berusia antara 6 hingga 18 tahun.

Pusat tahfiz yang ditubuhkan pada 2004 ini juga dijangka menerima pelajar perempuan pada tahun hadapan.

Pengetua tahfiz, Amirus Osman berkata, selepas sesi pendaftaran pelajar akan menduduki ujian bacaan al-Quran dan salsiah selama tiga hari.

"Kita ada dua kategori iaitu mengikuti aliran perdana dan bukan aliran perdana. Bagi yang mengikuti aliran perdana mereka akan dihantar ke sekolah harian.

"Manakala mereka yang tidak mengikuti aliran perdana akan mempelajari ilmu agama di pusat tahfiz. Kesemua pelajar wajib tinggal di asrama yang disediakan,” katanya.

Perlukan bantuan kenderaan

Amirus berkata, walaupun tahfiz berkenaan di bawah seliaan masjid namun pihaknya tetap menerima sumbangan dari pelbagai pihak termasuk Felda.

"Pelajar kita bukan terhad kepada warga Felda sahaja tetapi masyarakat yang tinggal berhampiran tanah rancangan Felda.

"Niat kami hanya mahu mendidik anak ini supaya mereka mendapat ilmu agama yang sewajarnya. Ketika ini kami amat memerlukan bantuan kenderaan untuk memudahkan pergerakan pelajar bagi mengikuti aktiviti luar.

"Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi saya di talian 019-6757909 atau menyalurkan bantuan terus kepada Tahfiz Masjid Felda Serting Hilir di akaun Bank Islam bernombor 0503-0010-175-704,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEGAMAT - Kira-kira 1,000 jemaah Masjid Al-Husna, Segamat Baru di sini, dapat beribadah dengan lebih selesa apabila kerja-kerja menaik taraf masjid tersebut dijangka siap sepenuhnya awal tahun hadapan.
  • SKUDAI - Penantian hampir tiga tahun penduduk Taman Pulai Indah untuk memiliki masjid kini menjadi kenyataan.
  • PORT DICKSON - Setiap masjid di negeri ini digalakkan menyediakan kemudahan jalur lebar tanpa wayar atau wi-fi dalam usaha menggalakkan lebih ramai golongan muda mengimarahkan masjid.
  • KANGAR - Kerajaan negeri menyokong penuh saranan agar setiap masjid di negeri ini memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengekang sebarang aktiviti tidak sihat di masjid.
  • TANAH MERAH - Masjid Mukim Bechah Laut, memohon sumbangan bagi mengumpul dana sebanyak RM80,000 untuk melaksanakan projek pembangunan, program imarah dan aktiviti kebajikan masjid itu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.