MELAKA - Tindakan kerajaan negeri menjadikan kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara sebagai lokasi kunjungan terbuka orang ramai selama sebulan bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pembukaan Seri Bendahara untuk dilawati oleh rakyat bertujuan memberi ruang kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan (Harapan) melihat sendiri dan ambil pengajaran maklum balas yang jujur daripada rakyat.

Beliau berkata, ramai pihak membuat tanggapan bahawa beliau seolah-olah membalas dendam dan mengaibkan kerajaan negeri sebelum ini apabila membenarkan kediaman rasmi itu untuk dilawati namun bagi beliau tiada niat untuk pihaknya berbuat demikian.

“Isu ini disalah anggap oleh segelintir pihak. Bagi saya kebenaran melawat kediaman ini adalah bagi menghubungkan rakyat dengan pemimpin dan jika Harapan hendak 'menyerang’ kerajaan terdahulu, bukan dengan cara itu.

“Sejak saya dilantik sebagai ketua menteri, banyak permintaan untuk rakyat datang ke Seri Bendahara dan kalau hendak dilayan permintaan itu saya rasa lima tahun pun tidak cukup dan cara yang paling cepat adalah saya buka kediaman rasmi ini untuk dilawat oleh orang ramai,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri di sini, semalam.

Adly yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11 baru-baru ini, mengumumkan kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara dibuka kepada orang ramai untuk lawatan selama sebulan mulai 15 Mei hingga 14 Jun ini dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

Menurut beliau, idea untuk membuka kediaman rasmi sebagai tontonan dan lawatan umum diambil daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menjadikan Istana Presiden sebagai tempat lawatan dan tindakan beliau itu tidak menimbulkan rasa benci rakyat terhadap pimpinan terdahulu sebaliknya lebih kepada penghargaan daripada pemerintah kepada rakyat.

Adly turut membayangkan kemungkinan beliau dan keluarganya tidak akan menginap di Seri Bendahara selepas ini sebaliknya akan tinggal di rumah pegawai kerajaan di Peringgit dan menjadikan Seri Bendahara sebagai lokasi pertemuan rakyat dengan pemimpin.