KUALA PILAH – “Makam Raja Melewar sebenarnya bukan di Seri Menanti sebaliknya berada di Kampung Astana Raja Rembau,” kata bekas Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Hishamuddin Mustafa.

Menurutnya, makam Raja Melewar di Kampung Astana Raja Rembau itu telah disahkan Persatuan Sejarah Negeri Sembilan termasuk pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Katanya, makam itu kini terpelihara dan telah diiktiraf oleh Jabatan Warisan Negara, malah menjadi ikonik tapak warisan di Rembau.

“Pengesahan ini juga melalui panel penyelidikan beberapa ahli sejarah dan tokoh-tokoh adat dalam negeri ini seperti Undang Yang Empat, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang turut berkenan menziarahi makam tersebut.

“Difahamkan juga, beberapa siri pemulihan sentiasa dilaksanakan oleh pihak berkaitan demi memartabatkan makam tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung penemuan sebuah makam dipercayai makam Raja Melewar di Seri Menanti oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Perak, Profesor Madya Dr Mohd Rosli Saludin.

Hishamuddin yang telah berkhidmat selama lebih lapan tahun di Tourism Negeri Sembilan berkata, makam yang ditunjukkan Rosli itu adalah makam Tok Putih.

“Tok Putih ini adalah orang terawal yang membuka penempatan di Kampung Mertang Galau malah seorang ulama.

“Makam tersebut berada di belakang rumah ibu bapa di kampung saya dan saya dimaklumkan perkara itu oleh arwah datuk dan ayah saya,” katanya.

Sementara itu, Rosli yang dihubungi Sinar Harian berkata, beliau berfikiran positif dan menyambut baik usaha yang dilakukan  pihak berkaitan dalam memartabatkan makam Raja Melewar di Kampung Astana Raja Rembau.

“Saya juga gembira apabila penemuan terbaru kubur dan sebuah rumah serta beberapa peninggalan sejarah di kampung tersebut diberi perhatian oleh semua pihak.

“Saya berharap, pihak berkaitan dapat memartabatkan juga peninggalan sejarah itu demi generasi akan datang sebelum dimamah usia. Ini kerana sangat rugi jika biarkan khazanah warisan ini tanpa dipelihara,” katanya.

Dalam laporan Sinar Harian semalam, Rosli mendakwa makam ditemui di tepi sungai Kampung Mertang adalah milik Raja Melewar.

Menurutnya, makam tersebut tidak pernah diangkat untuk pengetahuan umum, berikutan sesetengah pihak beranggapan Raja Melewar dimakamkan di Rembau.

“Bagaimanapun, sebenarnya itu tidak tepat dan makam Raja Melewar yang terdapat di Rembau sebenarnya adalah kepunyaan orang kirinya.

“Ini kerana perlu diingat pada zaman kepahlawanan dahulu, setiap pembesar melantik orang kiri dan kanan yang mempunyai mirip wajah baginda. Ia dilakukan sebagai langkah keselamatan, selain bertujuan mengelirukan musuh,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) membuat penemuan ketiga terbesar tahun ini, apabila empat lagi kubur termasuk dipercayai makam Sultan Kedah ke-19 Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II dan permaisurinya, Tunku Puteri Almarhum Tunku Ishak, ditemukan di Anak Bukit.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.