PORT DICKSON - Pemandu teksi di daerah ini memohon kepada wakil rakyat tempatan untuk membantu mereka menyediakan sebuah stesen NGV di Port Dickson.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Tuan Punya dan Pemandu Teksi, Kereta Sewa Port Dickson, Roslan Latif, 56, berkata, kemudahan stesen NGV ini tidak pernah ada meskipun ia kawasan pelancongan yang diiktiraf negara.

Menurutnya, setiap kali pemandu teksi atau kereta sewa mahu mengisi NGV mereka terpaksa pergi ke Seremban.

“Kami sangat berharap wakil rakyat dapat membantu memperjuangkan kehendak kami dengan menyediakan sebuah stesen NGV di Port Dickson.

“Dulu kami pernah mengadu masalah kepada wakil rakyat, pelbagai permohonan telah dibuat tetapi sehingga kini tiada sebarang berita. Kami sehingga kini perlu berulang-alik dari PD ke Seremban semata-mata untuk mengisi NGV, bukan sahaja terpaksa membuang masa dan tenaga ke sana, tetapi kami perlu bayar tol RM6.40 (dua hala) setiap kali ke Seremban,” katanya kepada sidang media di Teminal Bas dan Teksi Port Dickson dekat sini, semalam.

Beliau ditemui semasa lawatan NGO Waris Nismilan dan MyCulture yang turun padang mendapatkan pungutan suara untuk Buku Suara Rakyat PD yang akan diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September nanti.

Hadir sama, Pengerusi Waris Nismilan, Norazizi A Aziz.

Dalam pada itu, pemandu teksi, Nasir Ahmad, 76, berkata dalam seminggu dia terpaksa berulang ke Seremban sebanyak 14 kali untuk mengisi gas NGV.

Katanya, sebagai sebuah bandar dan pusat pelancongan terkenal negara, sepatutnya kerajaan negeri sudah boleh memikirkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu stesen yang mempunyai NGV.

“Ini bukan masalah baru tetapi sejak beberapa tahun kita sudah ketengahkan masalah ini tetapi tiada siapa yang peduli. Oleh yang demikian, saya mengharapkan dengan adanya bakal perdana menteri di Port Dickson nanti, kemudahan gas NGV ini dapat diselesaikan,” katanya.Pemandu teksi di Port Dickson terpaksa berulang alik ke Seremban untuk isi NGV.