REMBAU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan masih mengenal pasti punca baki sebahagian bangunan asrama lelaki Maahad Al Baidha’ Lil Takwim Al Ulama yang terbakar dalam kejadian 20 Mei lalu, sekali lagi terbakar lewat petang kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, pada kebakaran 20 Mei lalu, pihaknya mengenal pasti kejadian berpunca daripada perkara tidak disengajakan berdasarkan bukti di lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan pertama bukanlah disebabkan lintar pintas dan kebakaran kedua di lokasi bangunan yang sama kini menimbulkan persoalan kepada pasukan bomba.

“Lokasi yang terbakar merupakan stor buat asrama berkenaan menempatkan pelbagai barangan antaranya katil dan lain-lain lagi.

“Manakala, bekalan elektrik juga diputuskan ke bahagian bangunan berkenaan.  

"Jadi, kita akan menjalankan soal siasat ke atas pelajar serta guru di sekolah berkenaan bagi mengenal pasti punca sebenar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan baki asrama sekolah tahfiz yang menumpang sementara premis Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) terbakar sekali lagi.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 6.41 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fuad Majid berkata, pasukannya tiba di lokasi pada jam 6.55 petang.

“Pasukan bomba mengambil masa selama 15 minit bagi memadamkan api dan dianggarkan 70 peratus bangunan itu musnah. Punca dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Untuk rekod, dalam kejadian 20 Mei lalu, kebakaran di lokasi sama membabitkan sebuah bangunan asrama lelaki berkeluasan 150 kaki X 30 kaki musnah 90 peratus.