REMBAU – Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri mencadangkan sekolah menubuhkan pasukan keselamatan kebakaran yang terdiri daripada warden asrama susulan kejadian kebakaran asrama di Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS), Ahad lalu.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pertemuan dengan pihak sekolah sudah diadakan Selasa lalu dan pemeriksaan secara terperinci dilakukan di asrama lelaki Maahad Al Baidha’ Lil Takwim Al Ulama yang menumpang sementara di premis STIAS.

“Kita meminta pihak pengurusan untuk kemukakan pelan bangunan. Malah, kita nasihatkan untuk menggunakan jeriji tingkap yang boleh dibuka, selain menggalakkan latihan kebakaran dilaksanakan secara berkala.

“Kita juga cadangkan agar pasukan keselamatan kebakaran yang terdiri daripada warden asrama dapat ditubuhkan bagi pencegahan kebakaran,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun punca kebakaran masih dalam siasatan pihaknya.