AYER KEROH - BN Melaka akan terus bersabar dalam menunggu keputusan dan senarai muktamad calon-calon yang akan bertanding di setiap kerusi negeri ini pada PRU14.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron berkata, segala keputusan itu diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk mencari dan memilih calon-calon terbaik bagi mewakili BN sekali gus mampu mempertahankan dan mengekalkan kemenangan 2/3 parti itu di Melaka.

Menurutnya, beliau juga tidak akan memberi tekanan kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak keberatan untuk terus membuat pengumuman senarai calon selepas mendapat lampu hijau dari individu itu.

“Saya akan umumkan bila presiden parti mengarahkan saya. Saya yakin mereka mempunyai proses lain yang disahkan, boleh menapis dan melihat calon yang diberikan adalah yang terbaik.

“Jadi perlu masa dan tak boleh tekanan, saya yakin mengikut pengalaman lalu dalam tempoh lima hingga tujuh hari sebelum penamaan calon kita akan mengetahui siapa yang akan dipilih untuk mewakili kawasan mereka,” katanya.

Idris berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran 1Masjid1Polis di Masjid Al-Alami di sini, semalam.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN negeri-negeri akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding, bila-bila masa.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, pengumuman calon yang dibuat Pas Melaka menunjukkan negara mengamalkan demokrasi tulen dan telus malahan tidak menghalang apa jua parti atau anggota bebas untuk bertanding pada PRU14 kerana ini adalah medium rakyat mengundi dan memilih.