MELAKA TENGAH - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini perlu ambil serius insiden yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal wanita akibat dihempap dahan pokok, Rabu lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Mohd Sofi Abd Wahab, berkata, tindakan proaktif perlu diambil supaya kemalangan seperti itu tidak berulang.

Menurutnya, PBT berkaitan perlu menyelia serta memotong dahan pokok yang dikhuatiri boleh bahayakan nyawa pengguna jalan raya dan rakyat Melaka.

“Kerajaan negeri begitu dukacita dengan kejadian yang berlaku sehingga meragut nyawa.

“Melihat kepada suasana kemalangan juga saya dapati terlalu banyak dahan pokok yang patah dan jatuh di atas jalan dan ini sangatlah membahayakan pengguna terutamanya mereka yang menggunakan motosikal,” katanya kepada Sinar Harian.  

Beliau berkata, banyak cara lain yang boleh dipraktikkan bagi menceriakan persekitaran selain menanam pokok besar.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab dengan landskap juga mesti fikirkan alternatif lebih kreatif sebagai ganti kepada penanaman pokok besar.

“Oleh kerana banyak risiko dari manfaat saya cadangkan supaya kelulusan menanam pokok besar di tepi jalan dan kawasan perumahan  dikaji semula demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Selain itu pokok yang sudah mati dan boleh beri kesan buruk kepada pengguna, hendaklah ditebang dengan segera,” katanya.

Kelmarin, seorang wanita maut dihempap dahan pokok ketika menunggang motosikal di Jalan Ayer Keroh Lama.

Mangsa, Intan Syahira Ahmad Safri, 23, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini.