MELAKA TENGAH - Program Perdana Bermalam Di Muzium mencatatkan peningkatan peserta setiap tahun termasuk menerima penyertaan sebanyak 35 muzium dari seluruh negara.

Pengurus Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas berkata, peserta dalam kalangan pelajar sekolah menerima penyertaan menggalakkan dengan jumlah seramai 2,597 peserta terdiri pelajar sekolah rendah dan menengah yang berpeluang merasai pengalaman seharian berada di muzium.

Menurutnya, usaha itu dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar sekali gus mengukuhkan peranan muzium selain membuktikan lokasi itu juga antara yang masih digemari generasi muda.

Katanya, sejak program berkenaan diwujudkan pada 2009, sehingga kini ia tidak sepi dari menerima tempahan yang penuh seperti dari pihak sekolah terutama pada cuti persekolahan dan sebagainya.

“Sebagai institusi pendidikan tidak formal, muzium juga mampu mendidik dan membentuk generasi muda yang berpengetahuan dan peka terhadap khazanah warisan negara.

“Ia merupakan salah satu usaha yang dapat mendekatkan muzium dengan masyarakat terutama pelajar sekolah selain menggalakkan budaya mengunjungi muzium dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Tambahnya, program tersebut juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila menerima Anugerah Kementerian Pelancongan Malaysia bagi tahun 2010/2011 sebagai Program Lawatan Terbaik (Merit).

Menurutnya, langkah ini juga mampu memupuk persefahaman dan semangat perpaduan sesama warganegara, membudayakan muzium dalam minda masyarakat serta mendaulatkan sejarah, budaya dan warisan negara.

“Sempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia 16 September, kita telah mengadakan program di Hang Tuah Centre (HTC) dengan penyertaan seramai 65 pelajar serta enam guru dari empat sekolah seperti Sekolah Kebangsaan Ayer Molek (SKAM), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, SMK Seri Mahkota dan SMK Seri Serdang, Selangor.

“Penyertaan dari sekolah luar Melaka menunjukkan orang ramai semakin menyedari mengenai program yang dilaksanakan atas inisiatif Perzim,” katanya.

Antara muzium terlibat seperti Muzium Negara, Muzium Diraja, Muzium Tekstil Negara, Muzium Perak, Muzium Senibina Malaysia, Muzium Seni Asia, Muzium Pahang, Muzium Kedah, Muzium Nelayan, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan lain-lain.