SEREMBAN - Kolej Tunku Kurshiah mencipta namanya dalam 'The Malaysia Book of Records' melalui kejayaannya dalam menghasilkan kain rentang kemerdekaan menggunakan teknik cap ibu jari yang terbesar di Malaysia.

Sebanyak 180 000 cap ibu jari telah dihasilkan pada permukaan kain rentang kemerdekaan yang membentuk corak simbol hati dan berlatar belakangkan Jalur Gemilang.

Di bahagian atas kain rentang berkenaan turut tertulis perkataan Kolej Tunku Kurshiah, manakala dibahagian bawah tertulis perkataan Malaysia.

Rekod itu telah disahkan wakil 'The Malaysia Book of Records', Lee Pooi Leng dalam Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan 2017 dan Pelancaran "Biggest Thumb Print Merdeka Banner" di Kolej Tunku Kurshiah di sini.

Pengetua Kolej Tunku Kurshiah, Anismah M.Noh berkata, kain rentang kemerdekaan yang berukuran 35.4 meter (panjang) dan 31.1 meter (lebar) itu telah dihasilkan dengan kerjasama seramai 840 warga kolej terdiri daripada pelajar, guru, staf kakitangan sokongan termasuk ibu bapa dan alumni.

"Kain rentang yang menggunakan sepenuhnya teknik cap ibu jari tangan semua yang terlibat itu mengambil masa seminggu bermula 4 September lalu untuk menyiapkannya.

"Ia memperuntukkan kos sebanyak RM9,500,"katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, objektif penghasilan kain rentang kemerdekaan menggunakan teknik cap ibu jari ini adalah bagi memupuk semangat cinta akan tanah air dalam kalangan warga kolej.

"Dalam masa sama menanam semangat kecemerlangan sahsiah pelajar Kolej Tunku Kurshiah,"katanya

Menurut beliau, pemilihan teknik "cap ibu jari tangan" berkenaan adalah bertepatan dengan simbolik Kolej Tunku Kurshiah yang merupakan satu-satunya sekolah berasrama penuh di Malaysia yang menjalankan proses pengajaran dan pemudahcaraan abad ke-21 secara sepenuhnya serta menggunakan pelbagai teknologi dalam pelaksanaan aktiviti di sekolah.

"Ini merupakan kejayaan ketiga Kolej Tunku Kurshiah dalam mencipta The Malaysia Book of Records',"katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.