MASJID TANAH  -  Beriadah di kawasan hutan antara aktiviti pilihan yang mampu melepaskan tekanan pada hujung minggu setelah penat bekerja mahupun aktiviti seharian.

Menyedari aktiviti itu banyak memberikan kebaikan dan manfaat, Persatuan Inovasi Pendidikan Pelancongan Malaysia(MyIETA) Jogging Team (MJT) yang disertai anak muda tidak ketinggalan menganjurkan beriadah di dalam hutan.

Ketua Penyelaras MJT, Siti Syazwani Ahmad Umar berkata, mereka mengambil inisiatif melakukan aktiviti riadah belantara di kawasan hutan berkenaan dengan berjogging dan mendaki bukit yang memberi peluang mereka menguji kesabaran serta semangat kerjasama berpasukan.

Menurutnya, biarpun mendaki dianggap sebagai aktiviti yang ekstrem kerana ia memerlukan stamina fizikal dan mental yang kuat, namun ia bukan penghalang kepada penggemarnya dan mereka yang baru berjinak-jinak untuk sertai tanpa mengira jantina.

“Untuk aktivtiti kali ini kami memilih kawasan hutan Tanjung Tuan untuk diterokai yang bukan sahaja baik untuk kesihatan kami, secara tidak langsung kami dapat melihat keindahan flora dan fauna yang diciptakan ALLAH SWT.

“Program sukan lasak seperti ini bukan pertama kali kami anjurkan malah sering kali cuma pemilihan tempat beriadah serta mendaki yang berbeza,” katanya selepas Program Jom Riadah Belantara Bersama MyIETA, di Tanjung Tuan, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden MyIETA, Aliwi AlQudri berkata, kepopularan aktiviti berkenaan beberapa tahun kebelakangan ini telah menjadi ‘trend’ wajib bagi  masyarakat  terutama pelajar di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta untuk meluangkan masa bila tiba cuti semester atau mengisi masa lapang yang ada.

Menurutnya, pihaknya yakin dan percaya,selain sebagai hobi, mereka yang menyertainya juga dapat berkumpul bersama rakan-rakan lain yang sebelum ini agak sibuk dengan tugas seharian  serta mahu menghilangkan tekanan sepanjang proses pembelajaran.

“Penyertaan masyarakat  dalam aktiviti sebegini, wajar diberi pujian kerana bukan mudah untuk menarik perhatian masyarakat menyertai ‘hiking’ jika tiada minat yang mendalam dan kesungguhan yang tinggi.

“Apa pun faktor, sebab mahupun alasan yang diberikan, aktiviti mendaki ini memang banyak kebaikannya cuma, bila berdepan dengan cabaran, kita perlu kuat semangat untuk laluinya,” katanya.

Pada program itu kira-kira 100 golongan remaja dan belia yang menjayakan program itu.