MELAKA TENGAH - Golongan belia di negeri ini dilihat cenderung menceburkan diri dalam bidang keusahawanan selepas tamat pengajian berbanding makan gaji.

Pengarah SME Corp Melaka, Nor Hidayaty Mohd Nor berkata, sejak 2013 hingga 31 Oktober lalu, seramai 347 usahawan di Melaka telah mendapat manfaat menerusi Program Peningkatan Perusahaan Bumiputera (Beep) dengan nilai geran RM23.85 juta.

Menurutnya, lebih 90 peratus juga telah diluluskan daripada 383 permohonan yang diterima daripada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“SME Corp juga melaksanakan pemantauan terhadap semua penerima Beep dalam tempoh setahun dan keberhasilan program menunjukkan peningkatan dari segi jualan antara 14 dan 64 peratus.

“Beep diwujudkan bertujuan untuk membangunkan keupayaan dan kapasiti PKS Bumiputera melalui pakej bantuan yang bersepadu bagi membantu melahirkan usahawan yang dinamik dan berdaya saing,” katanya selepas Majlis Penyerahan Geran BEEP kepada usahawan di Ayer Keroh, di sini, semalam.

Nor Hidayaty berkata, Melaka mencatatkan penerimaan dan kelulusan permohonan Beep tertinggi berbanding negeri lain dalam tempoh tersebut.

“Sebanyak 28 syarikat PKS menerima geran Beep melibatkan RM2.72 juta antara 1 Jan hingga 31  Okt tahun ini.

“Kebanyakan usahawan tersebut telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan disediakan BEEP merangkumi peningkatan pembungkusan dan pelabelan, pensijilan dan sistem pengurusan kualiti, jentera dan kelengkapan, pengiklanan, promosi dan pemasaran, pengubahsuaian premis dan penjenamaan.

Sementara itu, sebanyak 10 syarikat PKS Bumiputera menerima lebih RM1.20 juta pada majlis berkenaan yang disampaikan oleh Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee.

Norhizam berkata, usahawan PKS perlu merebut peluang dan memanfaatkan skim bantuan berkenaan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan, berdaya saing dan dinamik.

 “Kita juga menggalakkan usahawan muda untuk menceburi bidang perniagaan.

“Mereka akan dibantu pelbagai agensi pembangunan usahawan sehingga berjaya untuk mengukuhkan kedudukan perniagaan masing-masing," katanya.