KUALA PILAH – Seperti yang diumumkan kerajaan Pakatan Harapan (Harapan), jawatan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung di seluruh negara berakhir pada 30 Jun lalu.

Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim berkata, perkara itu tidak terkecuali kepada 125 orang pengerusi JKKK di daerah Kuala Pilah.

“Kita perlu akur dengan kerajaan baru Harapan, selain menerima dengan hati yang terbuka. Ini semua adalah ketentuan-Nya dan kita harus reda.

“Manakala saya berharap ahli Umno di sini sentiasa memberikan sokongan terhadap Umno dan bangkit bersama,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi JKKK Kampung Ibol, Terachi, Kamaruzaman Othman, 68, berkata, dia tidak terkejut malah telah menjangka hal ini terjadi jika berlaku peralihan kuasa.

“Telah menjadi resam dunia, ada pemimpin datang dan ada yang pergi.  

"Kita harus akur dengan perubahan. Saya bagaimana pun akan terus memberikan kerjasama dengan penduduk kampung sekiranya pengalaman dan pandangan saya diperlukan.

“Cuma bezanya sekarang saya tidak berjawatan lagi,” katanya yang telah menjawat jawatan berkenaan pengerusi JKKK sejak tahun 2008.