SENAWANG - Jika namanya otak bisnes, apa sahaja yang ada di depan mata akan dilihat menjurus ke arah itu asalkan ia dari hasil yang halal dan tidak memudaratkan.

Sambil menunggu anak pulang dari sekolah, Mohd Rizal Salikon, 40, sempat memikirkan peluang rezeki buatnya dengan mencuba nasib menjual roti bakar arang pelbagai perisa sejak April lalu, di luar kawasan Sekolah Kebangsaan Senawang 3 di sini.

Bakar roti atas basikal tua

Apa yang menarik perhatian, dia yang sebelum ini pernah bekerja sebagai jurutera, kreatif menggunakan basikal tuanya sebagai ‘kenderaan’ untuknya berniaga sekali gus menjadi tarikan ramai.

Mana tidaknya, di situlah Mohd Rizal akan membakar roti di atas dapur kayu arang sambil dilihat pelanggan ciliknya.

“Saya tak sangka percubaan saya ini menjadi kerana asalnya sekadar mencari rezeki sambil menunggu anak pulang dari sekolah. Lagipun saya minat berniaga.

Terdapat pelbagai pilihan perisa roti bakar disediakan.

“Dengan pilihan perisa Planta, kaya, kacang, coklat dan blueberry, biasanya 10 bungkus roti bersaiz besar habis dijual. Untuk dua keping roti dijual dengan harga RM1,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia mula beroperasi pada jam 1 petang hingga 2.30 petang dan bersambung semula pada jam 4 hingga 5 petang iaitu waktu pelajar pulang dari sekolah.

Disokong ibu bapa pelanggan cilik

Malah dia bersyukur kerana mendapat maklum balas positif daripada kebanyakan ibu bapa yang berpendapat makanan itu lebih berkhasiat dan mengenyangkan.

Menurut Mohd Rizal, melihat sambutan yang menggalakkan dia merancang mempelbagaikan lagi hidangan roti bakarnya.

Mohd Rizal tidak menang tangan melayan pelanggan.

“Sebelum ini pun saya ada jual roti john, tapi ia dah siap buat di rumah dan saya bersyukur sambutan pun amat baik.

“Bagi saya nak cari rezeki ini kita perlu rajin dan kreatif. Roti bakar ini bukan benda baru, tapi mungkin konsep bakar dengan kayu arang dan menaiki basikal tua itu dianggap unik sekali gus dapat menarik perhatian pelanggan,” katanya.

Manakala pelanggan, Huzaimah Ab Rahman, 40, berkata, dia menasihatkan anak-anaknya supaya membeli makanan berkhasiat berbanding makanan ringan.

“Daripada beli makanan ringan, lebih baik beli roti yang lebih sihat dan mengenyangkan. Roti itu biasa, tapi konsep yang kita fokuskan itu jadi daya penarik,” katanya.