MELAKA - Mungkin sesetengah pihak menganggap tindakannya sebagai tidak masuk akal, namun bagi seorang jurubekam klinikal Al-Hijamah Melaka, di sini, dia mempunyai alasan kukuh untuk melakukan bekam terhadap bayi.

Bagaimanapun, Azizi Abdul Hadi, 36, mengakui melakukan bekam terhadap bayi perlu mempunyai kepakaran yang harus dipelajari termasuk berguru.

"Saya guna teknik bekam sayatan untuk bayi sendiri sejak berusia 25 hari kerana mengikuti sunnah Rasullullah,” katanya.

Beliau yang juga mempunyai Diploma Eksekutif Keusahawanan Islam dari Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian (HUSM) terlebih dahulu membuat kajian yang terperinci sejak 2013 lagi.

“Sebenarnya bukan semua orang boleh buat bekam, lebih-lebih lagi kepada bayi mahupun kanak-kanak. Seseorang itu kena buat kajian sepenuhnya, berguru ataupun melalui pembacaan dan ujikaji.

“Setelah saya yakin mampu melakukannya, malah sudah mengikuti kursus International Oxidant Drainage Therapy Society Jakarta, Indonesia untuk memantapkan lagi kajian berkaitan bekam, saya buat dekat anak sendiri dulu,” katanya.

Menurutnya, tiada apa yang dimahukan melain melihat anak membesar dengan sihat secara semulajadi tanpa ubatan moden.

“Saya buat bekam sayatan pada anak dahulu seawal usia 25 hari ketika dia demam, maksimum enam cawan digunakan dan ternyata ia memberi kesan positif setelah sembilan kali saya melakukannya.

“Sehingga kini saya tidak suntik vaksin pada anak. Bukan tidak percaya, tapi saya lebih selesa mengamalkan alternatif tradisional dengan berbekam.

“Tak mungkin ALLAH dan Rasul  menuntutkan amalan hijamah ini jika berisiko tinggi bagi ummatnya, justeru yang sudah terbukti adalah manfaat dan faedah yang luar biasa,” katanya yang tinggal di Taman Kesidang Seksyen 2 Lorong Lapan, di sini.

Dia berkata, ramai yang salah faham dengan berbekam dan tujuannya bukan untuk keluarkan darah kotor, tetapi oksida.

“Oksida iaitu racun yang terhasil dari makanan, udara yang tidak sihat, penyakit seseorang dan sebagainya.

“Alhamdulillah setakat ini, ramai sudah percaya dengan kaedah ini, malah ibu bapa yang menjalankan rawatan untuk anak mereka juga mengakui alternatif  ini mampu mengubati sakit anak mereka seperti demam, sakit perut dan batuk,” katanya.

Justeru dia berharap agar sunnah Rasulullah SAW itu terus menjadi pilihan utama masyarakat di Malaysia untuk pencegahan dan rawatan segala penyakit kronik kecuali mati.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Langkah mengukuhkan keupayaan ekonomi secara bersama menjadi penggerak kepada penubuhan Koperasi Pengamal Bekam Terengganu Berhad (Kobet).
  • ALOR SETAR - Semua pengamal dan pengusaha pusat rawatan bekam disarankan menukar jarum serta cawan yang baru setiap kali selepas rawatan.
  • SEREMBAN - Seorang pekerja aksesori kereta mendakwa badannya melecur akibat kecuaian pekerja sebuah urut di Oakland, di sini, ketika dia melakukan rawatan bekam, bulan lalu.
  • KOTA BHARU - Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) membuktikan kaedah kesihatan melalui berbekam selamat, berkesan, bersih dan mencegah pelbagai penyakit jika dilakukan juru bekam diiktiraf.