MELAKA TENGAH - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bendahara Seri Maharaja, di sini, mengambil inisiatif memeriahkan Program Cara Hidup Anda Terbaik (C-HAT) dengan aktiviti bersukan.

Penganjuran program di bawah Kementerian Kesihatan itu bertujuan menangani masalah obesiti dalam kalangan murid-murid.

Naib Yang Dipertua PIBG, Dr Mohd Faizal P Rameli berkata, program yang dimulakan dengan aktiviti senamrobik mendapat penyertaan menggalakkan dengan disertai 461 murid sekolah berkenaan.

Menurutnya, usaha itu bukan sahaja memupuk cara hidup sihat dalam kalangan peserta malah menyemai semangat kesukanan di antara satu sama lain.

"Biarpun hanya senamrobik namun ia penting memandangkan statistik menunjukkan kadar obesiti kian meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk kanak-kanak.

"PIBG SK Bendahara Seri Maharaja telah memulakan aktiviti Jom C-HAT yang diadakan serentak dengan Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Sekolah," katanya.

Mohd Faizal berkata, dalam program itu turut diadakan pengisian taklimat pemakanan disampaikan kepada guru dan PIBG untuk memberi kesedaran pentingnya pemilihan makanan yang betul dan memenuhi keperluan piramid pemakanan kerana ia mempengaruhi tahap kesihatan dan kecergasan pelajar.

"Malah kehadiran dua maskot Anak Muslim juga menceriakan lagi suasana selain aktiviti Master Chef Junior oleh KEWPIE dengan warga pra sekolah dan permainan dam berasaskan info kesihatan serta pertandingan mewarna bagi murid tahun satu," katanya.

Sementara itu, wakil Jabatan Pendidikan Melaka, Ariff Anwar Mustahil menekankan aspek pemakanan dan kesihatan penting dan perlu bermula dari rumah, serta disokong dengan peranan ibu bapa dan guru ketika mereka berada di sekolah.