ALOR GAJAH - Seorang bayi berusia lima bulan menderita penyakit hati kronik (biliary atresia) sejak berusia 69 hari dan memerlukan kira-kira RM250,000 untuk menjalani pembedahan segera di Hospital China.

Ibu bayi berkenaan, Maslina Abdul Jabbar, 31, berkata, mereka sekeluarga berasal dari Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah di sini namun anaknya, Nurul Jalwa Nor Fazizal ketika ini menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Setakat ini Nurul Jalwa masih lagi menerima rawatan di hospital dan saya akan menjalani saringan sama ada layak untuk mendermakan hati kepada anak keempat kami ini atau sebaliknya pada 18 Julai ini,” katanya.

Dalam pada itu, penderitaan dialami Nurul Jalwa mendapat perhatian Pertubuhan Insan Sejati Malaysia (Perkisma) Melaka.

Pengerusi Perkisma negeri, Mohd Asri Ramli berkata, pihaknya mengetahui penderitaan bayi itu selepas dimaklumkan individu dari Sungai Udang sebelum terus ke rumah bayi berkenaan.

“Bila kami dapat tahu, kami terus menjejaki keluarga ini untuk menyelami masalah yang dihadapi dan apa yang kita lakukan sebagai usaha untuk membantu Nurul Jalwa termasuk menggerakkan tabung kilat pada Majlis Rumah Terbuka Cabang PKR Masjid Tanah baru-baru ini,” katanya.

“Kami juga telah berkongsi maklumat kepada orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial Facebook kerana tahu rakyat Malaysia begitu prihatin untuk sama membantu. Hasil kutipan yang diperoleh kira-kira RM2,000 sudah disalurkan ke dalam akaun Maslina,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dun Kuala Linggi, Hasmorni Tamby berkata, Japerun Dun Kuala Linggi akan berusaha membawa perkara itu ke pengetahuan kerajaan negeri.

“Nasib yang menimpa Nurul Jalwa amat pilu sekali kerana dalam usia lima bulan, dia menanggung penderitaan. Jadi saya bersama warga Japerun Dun Kuala Linggi bersepakat untuk mengetengahkan perkara ini ke peringkat kerajaan negeri.

“Buat masa ini, kami masih berusaha untuk mendapatkan sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi keluarga Nurul Najwa, bagi meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 04106-29-00038527-1 atas nama Maslina Abd Jabbar.