BANDARAYA MELAKA - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terpaksa membawa keluar hampir dua tan sampah setiap minggu dari kawasan tumpuan pelancongan di Pulau Besar untuk dibawa ke daratan.

Keadaan ini menyebabkan lebih RM20,000 sebulan terpaksa dibelanjakan MBMB  bagi proses berkenaan semata-mata memastikan Pulau Besar sentiasa bersih dan indah untuk kemudahan para pelancong.

Ahli Majlis MBMB, Mat Faris Mohd Taib berkata, sekiranya tidak diambil langkah lebih drastik, nescaya pulau berkenaan akan berdepan masalah kebersihan.

Setiap minggu tidak kurang 5,000 orang mengunjungi Pulau Besar. Selain pengunjung dalam negara terdapat juga pengunjung luar seperti dari Eropah, Australia dan China.

“Keadaan akan jadi lebih sesak pada setiap hujung minggu terutama cuti persekolahan dan cuti umum dan tidak boleh dibayangkan betapa banyak sampah yang kita kutip keluar. Inilah masalah yang kita hadapi sekarang,” katanya.

Mat Faris ditemui selepas mewakili Adun kawasan Telok Mas, Datuk Seri Latiff Tamby Chik bagi merasmikan program My Beautiful Malaysia AADK Negeri Melaka di Pulau Besar di sini, semalam.

Program anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu turut membabitkan beberapa agensi lain seperti MBMB, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Skuad Sukarelawan AADK, Pejabat Daerah Melaka Tengah dan Mahkamah Syariah Melaka.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Mohd Radzi Abd Latif; Pengarah Jabatan Pengindahan Bandar MBMB, Moahzam Asari dan Penolong Pengarah AADK negeri, Azmi Sattar.

Sementara itu, Mat Faris berkata, MBMB juga sedang dalam perancangan untuk membeli sebuah mesin kompos awal tahun hadapan bagi membolehkan kesemua sisa makanan yang dibuang dapat dikitar semula.

“Ini perancangan jangka masa panjang MBMB.  Manakala sisa-sisa berbentuk pepejal seperti plastik dan botol-botol kita akan bawa keluar menerusi bot,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA TENGAH - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memberi pengecualian sewa selama sebulan kepada 300 peniaga pasar yang dipindahkan ke Pasar Transit Melaka di Jalan Tun Fatimah, Bachang, di sini sejak awal bulan ini.
  • PUNCAK ALAM - Tidak sanggup berdepan bau busuk dan pemandangan kotor dipenuhi sampah, penduduk di Jalan berhampiran Tapak Pasar Tani Puncak Alam memohon isu kebersihan diberikan perhatian.
  • BANDARAYA MELAKA - Tinggal dalam rumah berselerak dengan sampah sudah tentu memberi suasana tidak selesa.
  • SUBANG JAYA - Penduduk di USJ 16 di sini, mengadu tidak selesa dengan kerja-kerja kutipan sampah dilaksanakan di perumahan berkenaan yang didakwa tidak mengikut prosedur pihak berkuasa tempatan (PBT).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.