JASIN - Kerajaan negeri telah memberi notis amaran kepada sebuah ladang ternakan ayam yang juga kilang memproses najis ternakan berkenaan di Pondok Kempas, Jasin kerana didakwa menyebabkan kira-kira 150 penduduk berdekatan terpaksa menanggung bau kurang menyenangkan sejak lebih dua tahun lalu.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Baktee Hassan mendakwa, ladang tersebut juga dikesan gagal memproses najis haiwan ternakan berkenaan secara sistematik.

"Penduduk kampung menzahirkan kekesalan dan rasa tidak berpuas hati dengan cara ladang berkenaan memproses najis ayam secara terbuka.

"Disebabkan proses najis ayam mentah secara terbuka dan najis dalam keadaan masih basah, ia mengakibatkan bau yang sangat kuat dan mengganggu orang kampung," katanya kepada Sinar Harian.

Sebahagian najis ayam yang didakwa tidak melalui proses sistematik sebelum menjadi baja./figcaption>

Jelasnya, siasatan awal bersama Jabatan Veterinar Melaka mendapati ladang berkenaan memproses sekurang-kurangnya 70 tan najis ayam mentah sehari.

"Dalam sehari, pekerja kilang ini perlu proses paling kurang 70 tan najis ayam untuk dijadikan baja dan dijual semula kepada mereka yang berminat.

"Sepatutnya proses baja ini dilakukan cara lebih efisien atau waktu najis sudah kering," katanya.

Justeru itu, Norhizam berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama pemilik ladang ternakan ayam berkenaan untuk memaklumkan mengenai keadaan sebenar yang terpaksa dilalui oleh orang penduduk berhampiran.

"Jabatan Veterinar Negeri juga telah ambil sampel najis ayam untuk buat kajian.

"Saya juga mahu tahu kenapa kilang ayam ini tidak membina satu kilang memproses baja yang lebih bersistematik," katanya.

Katanya, ladang berkenaan akan berdepan tindakan jika masih bau busuk masih lagi mengganggu penduduk.