MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 290,000 rakyat menggunakan perkhidmatan tiga buah bas percuma sepanjang tahun, bermula hari ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, perkhidmatan baharu yang menelan kos RM1.4 juta setahun itu, hasil kepedulian Kerajaan PH Melaka sekali gus berjaya merealisasikan inisiatif bas percuma dalam manifesto PH negeri pada PRU14.

Menurutnya, bertepatan dengan kepesatan negeri dan peningkatkan penduduk, kerajaan negeri juga dalam perancangan mengenal pasti laluan baharu bagi memperluaskan kemudahan percuma itu ke daerah lain termasuk Jasin dan Alor Gajah agar perkhidmatan itu dapat dinikmati rakyat hingga ke peringkat akar umbi terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

"Perkhidmatan bas percuma merupakan titik tolak pertama ke arah memartabatkan semula pengangkutan awam di Melaka sekali gus sebagai jalan penyelesaian memenuhi keperluan rakyat tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kereta peribadi dan motosikal.

"Ketiga-tiga bas ini akan mengguna pakai  teknologi hijau dengan penggunaan gas asli (NGV) sebagai bahan api yang dapat membantu hasrat kerajaan mengurangkan pelepasan karbon dan memelihara serta memulihara alam sekitar daripada tercemar," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bas Percuma, Melaka Berwibawa di Terminal Domestik Melaka Sentral di sini, tadi.

Hadir sama, Speaker Dun, Omar Jaafar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam yang juga Pengerusi Panorama Melaka Sdn Bhd, Mohd Sofi Wahab.

Ujar Adly, setiap penumpang perlu menunjukkan Mykad ataupun Mykid untuk menikmati perjalanan percuma, manakala bukan warganegara dikenakan bayaran bermula RM1 hingga RM2.30.

Selain itu, ketiga-tiga bas tersebut akan melalui lokasi tumpuan seperti Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Hospital Melaka, Batu Berendam, Bachang, Pasar Transit dan Melaka Sentral yang beroperasi dari jam 6.30 pagi hingga 8 malam setiap hari.