MELAKA TENGAH - Masyarakat disaran membantu menjaga dan memulihara persekitaran negeri ini bertepatan Melaka sebagai negeri pelancongan dan bersejarah.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Tey Kok Kiew berkata, keprihatinan orang ramai mengenai aspek penjagaan kebersihan mampu mewujudkan persekitaran yang sihat bagi menjamin kehidupan yang lebih berkualiti dan menarik ramai pelancong.

“Persekitaran yang bersih dan selamat penting agar penduduk bebas daripada penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan aktiviti harian mereka.

“Usaha ini sekali gus membantu menjadikan Melaka lebih bersih sekali gus memberi keselesaan kepada semua orang, termasuk pelancong,” katanya.

Kok Kiew berkata demikian pada kempen dan operasi pembersihan besar-besaran di Jalan Bendahara di sini.

Hadir sama Exco Perpaduan, Sumber Manusia, NGO dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan; Pengarah SWCorp Negeri Melaka, Sharudin Hamid dan Pengurus SWM Wilayah Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Dr Al’Ashari Othman.

Sementara itu, Sharudin berkata, program itu akan diadakan secara berterusan melibatkan pelbagai pihak dengan memberi tumpuan di kawasan pelancongan dan juga kawasan perumahan.