ALOR GAJAH - Sampai bila nasib kami akan berubah!

Itu antara keluhan kira-kira 300 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini setelah kediaman mereka digenangi air sejak awal pagi semalam.

Lantaran mereka mendesak kerajaan menyediakan satu kawasan penempatan khas yang lebih selamat dan paling penting bebas daripada bencana banjir.

Salah seorang mangsa, Rumlah Kassim, 60, berkata, sejak lebih 10 tahun lalu, ketika era kerajaan terdahulu mereka telah dijanjikan penempatan lebih selesa berikutan kira-kira lima perkampungan di daerah itu terlalu rendah sehinggakan mereka tidak boleh tidur lena setiap kali hujan lebat.

Malah, menurutnya, masalah itu sudah dialami sejak sekian lama dan ada yang mendakwa sudah lebih 30 tahun terpaksa berdepan situasi serupa.

"Hati siapa yang tidak luluh apabila melihat kediaman yang diduduki sejak hampir 30 tahun lalu ditenggelami air sehingga paras bumbung, lebih-lebih lagi mengenangkan banyak barangan berharga yang tidak dapat diselamatkan.

"Setiap tahun, saya dan suami hanya bergantung sumber pendapatan sebagai nelayan pantai dan terpaksa membuat persediaan berdepan bencana ini, namun tidak menyangka paras air kali ini terlalu tinggi," katanya yang mendakwa situasi kali paling buruk pernah dialaminya.

Marini Amat, 46 pula berkata, beliau mahu janji untuk mendapatkan penempatan lebih selamat harus dikotakan segera meskipun ia dibuat oleh kerajaan terdahulu.

"Masalah ini sudah lebih 30 tahun tidak selesai. Pekakasan rumah kami banyak yang rosak, malah ada sebahagiannya yang terkena banjir dua tahun lalu pun masih belum sempat diganti," katanya.

Jamiah Misroh, 68, mendakwa, dia sudah hampir 10 kali merasai pengalaman di tempatkan di PPS setiap kali berlaku banjir.

"Keadaan air sangat laju, apabila air naik sehingga paras pinggang kira-kira jam 1.30 tengahari semalam, saya bersama suami, anak-anak serta seorang cucu yang baharu dua bulan lepas bersalin terpaksa berpindah kerana bimbangkan keselamatan," katanya.

Sementara itu, keadaan cuaca mulai cerah di seluruh negeri menjadikan angka mangsa banjir di dua daerah di negeri ini, mulai berkurangan kepada 987 orang sehingga jam 1 petang tadi berbanding 1,081 mangsa pada awal pagi.

Kesemua mangsa yang terjejas di tempatkan di tujuh pusat pemindahan di Daerah Alor Gajah dan satu pusat pemindahan di Daerah Melaka Tengah.