JASIN - Hujan lebat sekitar sejam malam kelmarin, menyebabkan Kampung Lubuk Kasau di sini, terjejas dengan banjir kilat.

Adun Bemban, Datuk Ng Choon Koon berkata, kali terakhir kampung itu dilanda banjir adalah pada 2006.

Menurutnya, beliau tidak menjangka kampung itu dinaiki air memandangkan kampung lain lebih cenderung dilanda banjir kilat seperti Tehel.

“Sebanyak tujuh buah keluarga terjejas yang mana melibatkan 27 mangsa.

“Kerana air naik agak cepat dan rumah mereka tidak selamat diduduki, kita buka pusat pemindahan banjir sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bemban untuk menempatkan mereka,” katanya.

Menurut Choon Koon, bagaimanapun sehingga jam 9.00 pagi semalam, air mulai surut dan terkawal.

Choon Koon beri sumbangan kepada mangsa banjir di SMK Seri Bemban.

“Kerana itu kita jangka pusat pemindahan boleh ditutup dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Choon Koon, setiap mangsa diberikan makanan dan minuman, selain bantuan kecemasan dari pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Bantuan lain dari Tabung Bencana Pejabat Daerah dan Tanah Jasin akan disalurkan secepat yang mungkin.

“Saya harap bantuan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Hadir di pusat pemindahan banjir SMK Bemban, bekas Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; bekas Adun Rim, Datuk Ghazale Muhamad; Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Shahdan Othman.

Pada masa sama, terdapat beberapa kawasan lain di Bemban terjejas akibat angin kuat, pokok tumbang dan tanah runtuh.

“Antara terlibat adalah Taman Bemban Jaya, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pay Chiao, Solok Bemban dan Taman Bemban Utama.

“Kerosakan termasuklah bumbung tercabut dan bocor.

“Masalah telah dikenalpasti dan bantuan sewajarnya akan diberikan,” katanya.