BANDARAYA MELAKA - Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu tidak dapat menyelesaikan kesengsaraan rakyat.

Sebaliknya, dakwa Timbalan Pengerusi Amanah negeri, Mohd Sofi Abdul Wahab, banyak insentif yang diumumkan adalah bersifat one off  yang tidak menguntungkan rakyat secara jangka panjang.

Menurutnya, ia umpama ubat penahan sakit yang hanya menghilangkan sakit sementara dan selepas itu sakit itu datang kembali.

“Kerajaan sepatutnya kaji punca utama kesengsaraan rakyat dan setelah diketahui puncanya maka langkah-langkah pembetulan untuk mengatasi masalah itu mesti diambil bagi meringankan beban rakyat dalam jangka masa panjang.

“Masalah utama rakyat sekarang adalah peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dikaitkan dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga minyak.

“Oleh itu kerajaan sepatutnya menangani masalah GST dan kenaikan harga minyak ini sebagai langkah paling utama bagi membantu meringankan beban rakyat semakin hari semakin tertekan dan menderita,” katanya.

Beliau berkata, langkah paling efektif bagi meringankan beban rakyat adalah dengan menghapuskan GST dan mengawal harga minyak tidak terus meningkat.

“Dengan penghapusan GST ini harga barang boleh dikawal dan diturunkan. Begitu juga dengan kenaikan harga minyak yang menjadi punca meningkatnya kos pengangkutan.

“Jika harga minyak tak naik serta harga bahan mentah juga tidak meningkat maka tidak ada sebab untuk harga barangan dan perkhidmatan dinaikkan sesuka hati,” katanya.

Ujarnya, kerajaan sepatutnya mencontohi Bajet 2018 Pakatan Harapan yang jelas berjaya mencadangkan langkah-langkah konkrit untuk mengurangkan beban rakyat.

“Pemberian one off seperti BR1M, RM1,500 kepada kakitangan awam dan lain-lain hanya langkah sementara yang tidak mampu membantu rakyat untuk meneruskan kesejahteraan hidup.

“Kerajaan sebenarnya cuba mengaburi mata rakyat dengan memperkenalkan bantuan one off dan beberapa skim baru yang sesetengahnya ditiru dari kerajaan Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.