ULU JEMPOL - Ibu bapa dan guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Felda Ulu Jempol di sini, mengadakan majlis bacaan Yasin selama empat hari berturut-turut bagi mengiringi anak-anak tahun 6 menghadapi peperiksaan UPSR.

Guru Besarnya, Yasin Maarof berkata, sebelum memasuki dewan peperiksaan, murid-murid terlebih dahulu  memohon restu daripada guru-guru dan ibu bapa masing-masing dengan bersalam-salaman dan memohon ampun.

Menurutnya, upacara itu disusuli bacaan doa di dalam dewan peperiksaan sebelum murid-murid mendudukinya.

"Serentak dengan peperiksaan yang sedang berlangsung, kaum ibu membaca Yasin di surau agar diberi kelapangan minda, dibukakan hijab ilmu yang telah dipelajari dan dipermudahkan urusan anak-anak untuk menjawab setiap soalan.

"Bacaan Yasin ini turut disertai oleh para ahli Gabungan Pergerakan Wanita Felda Ulu Jempol. Sambutannya sungguh luar jangka.

"Kami bersyukur kerana setiap aktiviti atau program sekolah sememangnya mendapat kerjasama yang padu daripada komuniti Ulu Jempol", katanya.

Turut serta, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Alias Ahmad.

Yasin berkata, program itu akan berlangsung selama 4empathari berturut-turut dan selama itulah guru-guru tahun enam menyediakan sarapan pagi bagi memastikan semua murid memasuki dewan dengan dialas perutnya.

Majlis Restu Ilmu dan Solat Hajat Perdana terlebih dahulu dilakukan pada hari Khamis malam Jumaat yang lalu.

"Kehadiran ibu bapa dan penjaga hampir mencapai 100 peratus benar-benar memperlihatkan harapan semua pihak untuk mendapatkan kecemerlangan.

"Diharapkan keputusannya nanti akan memberikan impak kegembiraan yang besar buat SK Ulu Jempol. Usaha sudah. Kini, kita tawakal dan berdoa sahaja" kata Yasin lagi.

Menyemarakkan semangat lagi apabila Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin turut mengiringi doa dan pesanannya.

"Saya doakan agar semua murid dapat buat yang terbaik. Jangan gusar dan ibu-ibu, bapa juga jangan lebih gusar daripada anak-anak,” katanya.

Seramai 44 calon UPSR SK LKTP Felda Ulu Jempol menduduki peperiksaan pada tahun ini, melibatkan 18 pelajar lelaki dan 26 perempuan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Seorang murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor di sini yang kisahnya terpaksa dijemput guru untuk menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengaku pakaian seragam sekolah miliknya basah menyebabkan tidak hadir ke sekolah pagi, Isnin lalu.
  • PASIR MAS - Kasih guru terhadap anak muridnya diterjemahkan melalui makanan apabila mereka memasak sendiri hidangan untuk dijamu kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lemal.
  • KOTA KINABALU - Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di lima sekolah di daerah Beaufort, kira-kira 90 kilometer dari sini, berjalan seperti biasa meskipun sekolah berkenaan dilanda banjir.
  • KUALA TERENGGANU - Seramai lapan calon terpaksa menjawab peperiksaan UPSR di empat hospital di negeri ini melibatkan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Dungun, Hospital Kemaman dan Hospital Hulu Terengganu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.