SEREMBAN - Semua institusi pengajian agama termasuk pusat tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini kini sedang dalam usaha menambah baik aspek keselamatan bangunan seiring dengan arahan kerajaan negeri.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz dan Pondok Negeri Sembilan, Ali Mohd Kadir berkata, pihaknya sudah pun merangka aspek keselamatan di semua institusi pengajian agama untuk dipertingkatkan.

"Ini bagi memastikan tiada lagi kebimbangan yang timbul mengenai aspek keselamatan di sekolah agama.  Kita kini sedang ke arah bagi mencapai tahap yang lebih baik supaya pelajar dapat menimba ilmu dalam keadaan yang selamat,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, pihaknya turut membuat pemantauan ke atas kesemua  institusi pengajian agama termasuk pusat tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini supaya pengendalinya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Ahli jawatankuasa setiap zon akan bertindak dalam membuat pemantauan tersebut setiap bulan. Kerjasama dengan jabatan berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum ini juga sudah dilakukan dan sekarang kita sedang bekerjasama dengan Giatmara," katanya ketika ditemui media pada Program Futsal Mahabbah Institusi Tahfiz dan Pondok di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini, semalam.

Program anjuran Persatuan Institusi Tahfiz dan Pondok Negeri Sembilan dengan kerjasama Pejabat Adun Paroi itu dirasmikan Adun Paroi, Mohd Ghazali Abd Wahid.

Sementara itu,Mohd Ghazali berkata, kerajaan negeri sememangnya mengharapkan pusat tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini dapat memberikan kerjasama dengan sepenuhnya.

“Apabila aspek keselamatan dipelihara, sudah tentu ibu bapa yang menghantar anak mereka tidak rasa bimbang lagi.

“Bagaimanapun, saya yakin semua institusi pengajian agama di negeri ini akan berusaha ke arah yang lebih baik," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi tempoh sehingga Jun depan kepada semua sekolah tahfiz untuk melengkapkan premis mereka dengan mematuhi peraturan-peraturan keselamatan ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ini berikutan, daripada 64 sekolah tahfiz yang beroperasi di negeri ini, hanya satu sahaja yang memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bomba.

Selepas Jun depan, Mohamad berkata, tindakan menutup premis serta-merta akan dikenakan sekiranya mereka gagal mengikuti arahan ditetapkan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU KAWAN - Sebanyak 16 kes integriti di kalangan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang bermula Januari hingga Oktober 2017.
  • JERANTUT - Kaum wanita disarankan melibatkan diri dan menjadi salah seorang anggota sukarelawan bomba.
  • KOTA BHARU - MISI pencarian pesara guru yang hilang Wan Hussin Wan Abdullah, 62, di laut ketika menjala udang di sini Selasa lalu masuk hari keempat dan setakat ini masih belum menunjukkan sebarang petanda mangsa dijumpai.
  • KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menjalankan latihan menyelamat mangsa banjir sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.