KUALA PILAH - Kehadiran beberapa ekor anjing liar dipercayai bertuan berkeliaran di sekitar kawasan Bazaar 1Malaysia, di sini, sehingga mengundang keresahan orang ramai.

Haiwan berkenaan dilihat berlegar-legar di tempat pembuangan sampah, kaki lima bazar, malah lebih membimbangkan apabila turut berada di kawasan medan selera sehingga mengganggu pengunjung menikmati makanan dan minuman di situ.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat najis anjing bersepah-sepah di kaki lima, sekali gus mengotorkan kawasan tersebut.

Peniaga, Zuhaimi Nordin, 49, berkata, masalah anjing liar di kawasan tersebut dan sekitarnya bukan perkara baharu, bahkan ia bermula sejak setahun kebelakangan ini.

“Lama-kelamaan, bilangan anjing ini semakin bertambah. Sekarang dianggarkan ada 10 ekor anjing liar menjadikan kawasan ini sebagai tempat tidur dan mencari makanan.

“Kelibat anjing liar ini boleh dilihat di mana-mana sahaja. Kadang kala, ia mengundang bahaya kepada pengunjung dan warga bazar ini. Pernah berlaku, pelanggan saya dikejar haiwan ini ketika hendak pergi ke kedai saya. Bila kita halau, haiwan ini bertindak agresif dan nak menggigit," katanya.

Kelihatan anjing liar berkeliaran di Bazar 1Malaysia mengundang kebimbangan peniaga dan pengunjung.

Menurutnya, biasanya anjing-anjing itu akan berada di kawasan berkenaan pada pagi dan petang.

“Anjing ini mahu cari makanan terutama pada waktu pagi dan petang. Biasanya petang sehingga ke nak masuk malam, lebih banyak anjing liar berada di sini.  

“Dulu, anjing ini tidak pernah melalui kawasan kaki lima bazar tetapi kini dah berani berkeliaran di kawasan tidak sepatutnya seperti surau.

“Bukan itu sahaja, masalah najis anjing berada merata-rata tempat dan mengotori kawasan ini termasuk di hadapan surau,' katanya kepada Sinar Harian di sini.

Zuhaimi berkata, kawasan berkenaan adalah tapak berniaga yang majoritinya adalah orang Islam.

"Kebanyakan peniaga buka kedai makan. Apabila berlaku masalah ini, sedikit sebanyak menggugat perniagaan mereka," katanya yang berharap pihak berkuasa memandang serius masalah berkenaa dengan menangkap anjing-anjing liar itu.

Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya sedia maklum perkara berkenaan dan akan bertindak segera untuk menyelesaikan masalah dihadapi peniaga dan pengunjung di situ.