SEREMBAN - Pihak berkuasa diminta untuk melakukan rondaan lebih kerap di kawasan premis perniagaan sekitar Taman Sri Mawar bagi mengelakkan kejadian bakar sampah berdekatan premis berulang.

Adun Senawang, P Gunasekaran berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berkenaan kejadian sampah dan tong sampah dibakar oleh budak-budak nakal.

Menurutnya, kelmarin dia membuat tinjauan di sekitar premis perniagaan Taman Seri Mawar, mendapati belakang sebuah klinik pergigian, hampir terbakar akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab membakar sampah mereka tanpa pengetahuan.

“Sampah yang dibakar sangat hampir dengan bangunan dan itu bukan tempat membakar sampah, mujur pekerja mereka cepat bertindak kalau tidak sudah pasti kedai terbakar.

“Saya tidak pasti ini angkara siapa, ada kemungkinan kerja budak-budak nakal di taman berhampiran.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat membuat rondaan dengan lebih kerap di kawasan ini, kerana ia bukan pertama kali berlaku,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pekerja di klinik tersebut, Azwa Suhaimi, 27, memberitahu kejadian berlaku dua hari lalu, sewaktu mereka sedang berkemas untuk tutup klinik.

“Semasa kami sedang mengemas tiba-tiba terhidu bau hangit dan nampak kepulan asap dari arah belakang.

“Kami kemudiannya mengambil air dan siram sebelum menghubungi pihak bomba,” katanya.

Ujarnya, kejadian sebegini berlaku lebih daripada empat kali dan pelbagai aduan dibuat kepada pihak berkaitan termasuk laporan polis.

Tambahnya, kejadian tersebut telah berlaku dua tahun lalu, sejak klinik pergigian beroperasi pada tahun 2000.