KUALA PILAH – Kemunculan ribuan ulat gonggok merah sejak sembilan bulan lalu di kampung Kubang Gajah Seri Menanti, mengundang resah penduduk lantaran jumlah serangga itu dikatakan semakin bertambah saban hari.

Malah selepas hujan, keadaan akan lebih merimaskan penduduk apabila serangga berkenaan merayap di merata tempat termasuklah dalam bilik air, ruang tamu, bilik tidur, dapur serta dinding rumah.

Kebanyakan penduduk menyatakan kehadiran ulat gonggok berkenaan dipercayai datangnya daripada penanaman kelapa sawit di kampung itu, yang kini baru berusia setahun.

Seorang penduduk, Mohd Radzi Abdullah, 63, berkata, kehadiran serangga itu mengganggu kehidupannya seharian serta membuatkan rasa tidak selesa.

“Saya tak tahu dari mana datang ulat gonggok ini. Ia mula muncul awal tahun ini selepas penanaman kelapa sawit yang berada di sebelah rumah.

Kawasan yang terlibat dengan tanaman kelapa sawit bersebelahan rumah penduduk.

“Pada awalnya ulat ini tak banyak tapi makin lama makin banyak, hingga perlu sembur racun serangga di sekitar rumah untuk kurangkan kehadiran ulat ini. Tapi usaha itu hanya sia-sia kerana ia akan muncul kembali,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Selain itu, Habibah Jaafar, 86, berkata, kehadiran serangga itu membimbangkan kerana ia datang dalam jumlah yang banyak.

“Uwan lahir di sini. Sebelum ini rumah ini bersih dan selesa. Tapi sejak kebelakangan ini, banyak pula ulat gonggok merah masuk rumah. Kalau seekor dua, Uwan tak kisah. Tapi kalau lebih dari puluhan ekor, memang rimas dan bimbang juga.

“Sebelum ini, tanah sebelah rumah ini diusahakan tanaman pokok getah tapi awal tahun ini, pihak berkaitan dah tukar kepada tanaman kelapa sawit.

“Uwan bukan nak menuduh atau syak apa-apa. Tapi sejak pokok kelapa sawit tanam sebelah rumah ni, banyak pula gonggok merah datang,” katanya.

Habibah berkata, disebabkan bimbang dengan jumlah serangga itu yang banyak, dia terpaksa menyembur racun serangga hampir setiap hari bagi mengelakkan ia masuk ke rumah dan bertambah banyak.

“Walaupun ulat ini tak bahaya kepada manusia dan tak menyengat, tak beracun selain tak menggigit, tapi kehadiran sangat mengganggu kehidupan kami di sini.

“Kadang-kadang bila tengah baring di lantai, tiba-tiba ia berada di badan kita. Bila tidur, tiba-tiba terjatuh dari atas siling,” katanya.

Longgokan ulat gonggok di rumah Fatimah.

Dalam pada itu,  Fatimah Hassan, 60-an, pula memberitahu, penduduk telah membuat aduan kepada pihak berkaitan pada Disember 2016 dan perkara berkenaan dipanjangkan menerusi aduan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

“Pihak yang berkenaan ada datang ke sini selain pihak kesihatan turut buat semburan serangga. Tapi ulat ini tetap muncul juga.

“Memang tak tahan lagi, sebab ia sangat ganggu kehidupan seharian kami di sini. Kami harap pihak berkaitan dapat bantu selesaikan masalah kami kerana semenjak puluhan tahun lamanya tinggal di sini, belum pernah berlaku kejadian sedemikian.

“Difahamkan, ulat ini datang berpunca daripada tanaman pokok sawit yang dilihat tak bersesuaian dengan persekitaran setempat. Dikhuatiri akan timbul masalah ular dan sebagainya. Masa kelapa sawit belum tanam, masalah ulat gonggok tidak berlaku,” katanya.

JKKK ambil tindakan

Sementara itu, Pengerusi JKKK Tengah, Abdullah Salleh ketika ditemui di rumahnya berkata, beliau sedia maklum mengenai masalah berkenaan.

“Siasatan masih dilaksanakan oleh pihak berwajib termasuk dari pertanian, Risda dan kesihatan. Mereka juga telah turun padang melihat permasalahan ini. Setakat ini, belum ketahui punca sebenar kehadiran ulat gonggok di kampung tersebut," katanya.

Abdullah berkata, pihaknya menyangkal dan tidak bersetuju dengan dakwaan menyatakan kehadiran ulat gonggok merah itu berpunca daripada tanaman kelapa sawit yang diusahakan.

Menurutnya, perkara itu juga kini masih dalam siasatan.

“Tanaman kelapa sawit seluas 40 hektar ini membabitkan 32 peserta di sini.

"Persetujuan juga telah diberikan untuk menanam kelapa sawit bagi menjana pendapatan yang sebelum ini diusahakan dengan tanaman pokok getah," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PADANG TERAP - “Semasa saya sedang menebas rumput di kebun buah saya, tiba-tiba saya terdengar bunyi tempikan gajah dan tapak kaki dari kawasan hutan berdekatan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.