SEREMBAN – Menteri Besar Aminuddin Harun kecewa dengan sikap segelintir wakil rakyat pem­bangkang yang sengaja tidak mahu meraikan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu di Padang Majlis Perbandaran Seremban di sini.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menghantar jemputan kepada seluruh wakil rakyat pembangkang sebelum ini.

“Kerajaan negeri dah jemput semua wakil rakyat pembang­kang, tetapi saya kecewa seorang pun tak nak datang untuk meraikan Hari Merdeka lalu,” kata Aminuddin, semalam.

Beliau mengulas ketidakhadiran wakil rakyat pembangkang pada  sambutan kemerdekaan Jumaat lalu.

Aminuddin berkata, semangat sayangkan negara perlu ada pada diri setiap rakyat Malaysia, tanpa fahaman politik, mereka se­harusnya bersama masyarakat Negeri Sembilan me­raikannya.

“Kita jemput semua wakil rakyat pembangkang di negeri ini untuk sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan.

"Kita tidak menaikkan satu pun bendera parti, tiada langsung bendera parti berkibar hari itu, melainkan Jalur Gemilang.

“Bagaimanapun, hanya bekas Menteri Besar, Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) seorang sahaja membalas jemputan kami dengan memberi jawapan tidak hadir, yang lain semua senyap,” katanya.

Beliau berkata, sewaktu menjadi wakil rakyat pembangkang, pihaknya tidak pernah dijemput meraikan kemerdekaan bersama kerajaan negeri, tetapi kini fahaman politik perlu diketepikan.

“Saya harap pada masa akan datang, jika ada sebarang majlis sambutan yang tidak melibatkan fahaman politik, marilah kita raikan bersama,” katanya.