JASIN - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jasin komited memastikan pelatih dapat pendidikan agama sebaiknya termasuk membudayakan bacaan al-Quran dalam kalangan pelatih.

Ketua Unit Pencegahan dan Publisiti AADK Jasin, Amin Fitri Adnan berkata, menerusi program di bawah Pusat Integrasi Klien (PIK), pelbagai aktiviti dijalankan.

“Walaupun mereka pernah terjebak dengan penyalahgunaan dadah, tetapi kita tidak boleh pandang ringan hal agama.

“Mereka juga harus dibimbing untuk terus mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan dengan bantuan kami,” katanya.

Menurutnya, menerusi aktiviti bacaan Yasin diadakan setiap Jumaat, pihaknya berharap pelatih terbabit dapat menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan lebih dekat dengan ALLAH SWT.

“Kita mengambil berat perkara ini, bukan sahaja mahu mereka bersih daripada najis dadah sahaja tetapi lengkap dengan ilmu agama sebaiknya.

“Program ini menjadi salah satu daripada proses pemulihan dalam kalangan pelatih,” katanya.

Amin Fitri berkata, pelatih PIK dipantau pihak AADK sebelum keluar daripada perintah pengawasan supaya golongan itu benar-benar bersedia berhadapan masyarakat

“Ini penting supaya mereka benar bersedia berdepan masyarakat dan menjalankan kehidupan seperti orang lain. Pada masa sama, kita mahu mereka sedar dan yakin untuk tidak mengulangi perbuatan mereka,” katanya.

Program yang mendapat bimbingan Shamsatul Nahar turut melibatkan 15 pelatih PIK dan penuntut praktikal dari Kolej Universiti Islam Melaka.