SUNGAI UDANG - Seorang pejalan kaki menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Udang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 9.15 pagi, mangsa Azhar Ahmad, 55, dari Solok Duku Masjid Tanah baharu beberapa saat turun dari sebuah bas.

Sumber polis berkata, mangsa kemudian menyeberangi jalan di depan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Udang, sebelum datang sebuah van jenis Nissan Urvan yang dipandu laju seorang lelaki berusia 50 tahun merempuh mangsa yang sedang melintas jalan.

“Akibat rempuhan itu mangsa yang tidak bekerja mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sebelum dituntut waris mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad  yang mengesahkan kejadian itu berkata,  kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen  41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pemandu van yang sebelum ini dilaporkan melarikan diri selepas kemalangan itu telah pun menyerah diri di balai polis lebih kurang jam 1 petang tadi (semalam) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.