• Adat Mandailing masih terjaga Yunus (dua, kanan) turut melaung ‘huras’ sebaik disarungkan ulos oleh suku Mandailing di Balairaya Bukit Pertang, kelmarin.
1 /

PERTANG - Penghijrahan suku Mandailing dari Indonesia sejak 200 tahun lalu ke Tanah Melayu meninggalkan sejarah berharga apabila suku terbabit masih kekal dengan adat dan tradisinya.

Wakil Persatuan Halak Mandailing Malaysia, Datuk Baharom Nasution berkata, penghijrahan suku itu disebabkan peperangan Indonesia dengan Belanda.

Menurutnya, sehingga kini, kawasan tumpuan suku berkenaan adalah di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Di Jelebu, terdapat kira-kira 10,000 suku Mandailing yang menetap di tiga kampung iaitu Kampung Tambahtin, Kampung Kerangai dan Kampung Pertang.

“Mereka ini masih kekal dengan adat tradisinya, masih bertutur loghat Mandailing hingga ke anak cucu,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Suku Mandailing di Balairaya Taman Bukit Pertang, di sini, kelmarin.

Baharom berkata, selain bahasa, suku Mandailing di Jelebu turut menyediakan makanan tradisi, bulung gadong naduda.

“Bulung gadong naduda adalah pucuk ubi yang ditumbuk dan dimasak dengan ikan keli salai yang dihidangkan kepada tetamu.

“Selain itu, sambal tuk tuk yang diperbuat daripada ikan bilis, limau dan cili juga adalah makanan tradisi suku ini yang kekal hingga ke hari ini,” katanya.

Selain makanan, Baharom berkata, suku Mandailing akan menari tor-tor untuk menyarungkan ulos di bahu tetamu kehormat yang hadir.

Katanya, aktiviti keramaian dan rumah terbuka adalah salah satu acara wajib persatuan berkenaan bagi mengekalkan tradisi suku minoriti itu.

“Persatuan Halak Mandailing ini ditubuhkan tahun lalu dan setiap tahun akan mengadakan program bersama bagi mengelakkan budaya suku ini dilupakan," katanya.

Menurutnya, generasi muda Mandailing perlu diberikan pendedahan mengenai adat dan tradisi suku kaum berkenaan bagi membolehkan mereka mewarisinya.

Hadir sama pada jamuan berkenaan , Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang, Datuk Yunus Rahmat; Adun Pertang, Datuk Razak Mansor dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.