PORT DICKSON - Sebanyak 430 anak pokok hutan dan nadir daripada pelbagai spesies termasuk pokok Melaka serta pokok yang jarang dijumpai ditanam di Rizab Hidupan Liar, Tanjung Tuan.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Henry Goh berkata, program itu bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, program mengayakan habitat melalui penanaman pokok ini menepati projek MY Forest MNS bagi mengayakan dan meningkatkan biodiversiti hutan tropika Malaysia.

“Program tropika Malaysia adalah khazanah alam yang menakjubkan, di mana Malaysia antara 12 negara yang mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang penting untuk ekologi sihat dan hidupan burung.

“Hutan Simpan Tanjung Tuan ini juga adalah tempat persinggahan burung pemangsa atau raptors setiap Mac, dan sambutan Raptor Watch pada tahun ini akan diadakan pada 10 hingga 11 Mac di pekarangan Hutan Simpan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pengayaan Habitat (Penanaman Pokok Melaka dan Pokok Nadir) di Rizab Hidupan Liar, Tanjung Tuan.

Henry berkata, MNS menyarankan supaya mana-mana agensi yang berminat menyertai program pengayaan habitat di sekitar Melaka dan Negeri Sembilan berhubung dengan MNS cawangan Negeri Sembilan Melaka.

Tambahnya, program Pengayaan Habitat di Tanjung Tuan kali ini mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan tidak ketinggalan penglibatan sukarelawan.

“Seramai 250 sukarelawan dari Politeknik Port Dickson, sekolah menengah di sekitar Melaka dan Institut Latihan Perindustrian Melaka turut serta menjayakan program ini.

“Ini akan membentuk dan mendidik komuniti yang mencintai alam,” katanya.