NILAI - Seramai 350 individu ditahan daripada keseluruhan 680 warga asing yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Fasa Tiga di Kawasan Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor untuk menjalani proses saringan.

“"Seperti operasi lepas, kita akan membawa kesemua warga asing balik ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Sepang (Selangor). Di sana kita akan buat saringan melibatkan pelbagai pangkalan data melibatkan Interpol, Foreign Terrorist Fighter (FTF) List, Counter Terrorist List, Cawangan Khas, Jabatan Imigresen Malaysia dan juga agensi-agensi perisikan asing yang mempunyai senarai lengkap tentang mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti keganasan.

"Walaupun dokumen mereka lengkap di sini, walaupun mereka mempunyai pasport yang masih sah tapi kita perlu membawa mereka balik ke IPD Sepang untuk semakan pangkalan based," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

Beliau berkata keputusan lengkap saringan kesemua mereka yang ditahan hanya akan diperolehi pagi esok.

Ayob Khan berkata Nilai 3 dipilih sebagai lokasi operasi selepas pihaknya mendapat maklumat daripada pasukan perisikan bahawa elemen pengganas Islamic State (IS) wilayah Khorasan yang berpangkalan di Pakistan dan Afghanistan, kini disyaki telah berpindah daripada Masjid India, Kuala Lumpur ke Nilai 3 selepas operasi yang sama dijalankan Isnin lepas.

“Lokasi Nilai 3 dipilih kerana sasaran tangkapan adalah warga asing dari negara Pakistan, Afghanistan, Bangladesh dan Nepal yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan IS Wilayah Khorasan. Kemungkinan warga negara-negara ini terlibat dalam IS Khorasan adalah tinggi,” katanya.

Ayob Khan berkata pihaknya bimbang sekiranya terdapat elemen-elemen IS wilayah Khorasan cuba menyusup masuk dengan bersembunyi bersama pekerja-pekerja warga asing daripada Pakistan dan Afghanistan yang bekerja di kawasan Nilai 3.

Operasi yang berlangsung selama empat jam bermula 2 petang itu di 1,018 premis dan kedai di seluruh kawasan Nilai 3 itu turut menemui empat bilah parang panjang yang disimpan di sebuah premis menjual karpet.

"Kalau kita ikut logik kenapa perlu kedai yang menjual karpet menyimpan pedang dan parang panjang macam pedang samurai. Kita yakin ia mungkin digunakan untuk menyerang sebagai keselamatan apabila ditangkap," katanya sambil menambah barangan tersebut dirampas untuk siasatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan lanjut ke atas kesemua warga asing yang ditahan itu kelak akan dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu kesalahan yang akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), jika melakukan kesalahan keselamatan.

“Kalau kesalahan Imigresen, kita akan serah kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan seperti kesalahan tinggal lebih masa atau salah guna pas dan lagi satu dibawah kesalahan-kesalahan lain, mungkin ada senjata api, pedang dan sebagainya, kita akan serah kepada IPD berkenaan untuk membuka kertas siasatan," katanya.

Sebelum ini operasi yang sama pernah dilaksanakan di Masjid India pada Isnin lepas dan Cyberjaya pada Rabu yang bertujuan bagi menjejaki warga asing yang disyaki ada kaitan dengan kegiatan keganasan menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Operasi di Nilai 3 disertai seramai 321 pegawai dan anggota terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA),Unit Tindakan Khas, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Forensik, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Unit K9, Unit Pemusnah Bom (UPB), Lembaga Perlesanan Tenaga Atom (AELB), Jabatan Imigresen, JPN, Unit Udara Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUTTERWORTH - Polis percaya mayat lelaki yang ditemui dengan kesan kelar dan tetakan di dalam semak berhampiran Sungai Jarak, Kampung Paya Tok Akil di Tasek Gelugor, dekat sini pada Sabtu lepas adalah milik warga asing.
  • KUALA LUMPUR - Gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dan pelanggan yang leka berhibur di sebuah pusat hiiburan, di sini diserbu pihak berkuasa malam tadi.
  • NIBONG TEBAL - Kehadiran warga asing yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan kilang Sungai Baong di sini bukan sahaja menjejaskan peniaga tempatan, malah kehadiran mereka turut menimbulkan rasa tidak selesa penduduk setempat.
  • AMPANG JAYA - Seorang lelaki yang sedang berhibur dalam keadaan ‘lalok’ antara dicekup dalam serbuan di sebuah pusat hiburan karaoke di sini, malam tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.