JELEBU - Seramai 34 orang daripada sembilan keluarga di Kampung Sri Juntai, dekat sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan rumah mereka dilanda banjir kilat, petang ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolenal (PA) Fazlisyah Muslim, berkata kesemua mangsa dipindahkan ke Balairaya Kospen di kampung berkenaan pada 7.07 malam.

“Semua mangsa membabitkan sembilan warga emas, 19 dewasa dan enam kanak-kanak.

“Hujan lebat turun kira-kira selama dua jam menyebabkan air Sungai Triang melimpahi tebing di kawasan rendah di kampung tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain APM, agensi lain yang turut membantu ialah bomba, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). - Bernama