SEREMBAN - Seramai 33 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi anggota Geng 36 yang aktif dalam pelbagai kegiatan jenayah terancang seperti bunuh dan pemerasan.

Kesemua tertuduh, yang berusia di antara 25 hingga 54 tahun, didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah terancang itu di Negeri Sembilan antara 1 Jan 2015 dan 29 Mac lepas.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fathiya Idris.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ketua Bahagian Pendakwaan II, Jabatan Peguam Negara Saiful Edris Zainuddin.

Seramai 10 orang daripada tertuduh diwakili peguam B. Jayaprakash Rao, Paulkrishna Raja dan S. Thevar manakala selebihnya tidak diwakili peguam.

Kes itu akan disebut semula pada 22 Mei depan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Seremban.

Kesemua 33 tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Sungai Udang, Melaka.

Sepanjang prosiding, anggota Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dari Bukit Aman yang lengkap memakai topeng muka, berpakaian gelap dan bersenjata mengawal ketat di luar mahkamah. - Bernama