SEREMBAN - Jauh di sudut hati sebagai ibu, sentiasa berdoa dan berharap anak yang terlantar lumpuh sejak 21 tahun supaya kembali pulih.

Namun Saodah Roji, 71, dan suaminya Adam Bidin, 73, reda jika itu suratan dan selagi berdaya, amanah menjaga anak mereka Rusni Adam, 40, akan dilakukan sehingga akhir hayat.

Menurutnya, anak bongsu dari empat beradik itu sebelum ini sihat, namun semuanya berubah selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika ke tempat kerja di Nilai, pada usia 19 tahun.

"Sejak itu keadaannya hanya terbaring dan kami  sudah puas ikhtiar, tapi syukurlah dia tidak mengalami masalah kesihatan lain. Mengenangkan keadaannya, sebagai ibu sudah tentu saya risau siapa yang akan jaganya kalau saya tiada nanti.

"Tapi, saya selalu pesan pada anak-anak lain, jangan tinggalkan adik dan saya harap mereka dapat pikul tanggungjawab ini," katanya.

Katanya selepas menerima sumbangan katil boleh laras disampaikan Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon yang turu disaksikan Adun Labu, Ismail Ahmad di rumahnya Kampung Labu Batu 9 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Adam berkata, doktor yang merawat Rusni pernah memberitahu yang anaknya itu tiada lagi harapan untuk sembuh.

"Saya akui bukan mudah nak jaga dan uruskan Rusni lebih-lebih lagi umur saya sudah tua sebab itu saya puji ketabahan isteri jaga anak yang langsung tak boleh bergerak dan terlantar saja. Boleh dikatakan isterilah yang jaga sepenuhnya dan tiga lagi anak saya yang lain turut bantu.

"Anak saya alami pendarahan otak akibat kemalangan menyebabkannya dia lumpuh dan terpaksa dirawat di hospital selama sebulan sehinggalah kami dinasihatkan membawanya pulang kerana doktor tak mampu buat apa-apa lagi," katanya.

Menurutnya, bagi menampung perbelanjaan harian, dia menggunakan wang persaraan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Rusni dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan.

"Mujurlah ada wang pencen dan bantuan JKM sebab saya tak lagi bekerja dan tiada pencen. Kadang-kadang saya sendiri rasa bersalah kerana anak sudahlah sakit, kami guna pula duit bantuan dia. Cuma kami sekeluarga akan pastikan Rusni akan dijaga sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Nicole berkata, pihaknya akan pertimbangkan untuk memberi bantuan am atau bantuan warga emas kepada ibu atau bapa Rusni kerana menjaga anak terlantar sakit sekali gus meringankan beban pasangan berkenaan.