MELAKA TENGAH - Hospital Melaka menerima kelahiran sebanyak 19 bayi termasuk 10 lelaki sejak lewat petang semalam sempena sambutan Maal Hijrah hari ini.

Daripada jumlah itu, lima daripadanya dilahirkan menerusi pembedahan manakala selebihnya dilahirkan secara normal dan kesemua bayi tersebut serta ibu mereka berada dalam keadaan sihat.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Datuk Rahimin Bani berkata, bayi pertama dilahirkan pada jam 7.42 malam tadi kemudian diikuti bayi-bayi yang lain.

Menurutnya, paling istimewa apabila lima pasangan menyambut kelahiran anak sulung mereka terdiri dari tiga bayi lelaki dan dua perempuan.

“Aktiviti menyambut kelahiran bayi Maal Hijrah ini dijalankan sejak empat tahun lalu oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Jaim, Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan Hospital Melaka.

“Kita mendoakan kesemua bayi yang dilahirkan hari ini dan seterusnya sentiasa mendapat keberkatan Allah dan kelak menjadi anak yang soleh dan solehah,” katanya selepas menyempurnakan majlis Sambutan Maal Hijrah dan Bertahnik Peringkat Negeri Melaka 1440 Hijrah.

Turut sama mentahnik iaitu meletakkan manisan ke dalam mulut semua bayi tersebut, Imam Besar Masjid Al-Azim, Datuk Mohamad Hashim dan Pendakwa Bebas, Datuk Abdul Rahim Abdul Chalik.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Hospital Melaka, Dr Mohd Rosli Tompang.