MELAKA TENGAH - Sebanyak 103 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas manakala tiga remaja ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti lumba haram dalam Ops Pencegahan Samseng sekitar bandar Melaka, malam tadi.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah, bermula pada jam 11 malam dan berakhir lebih kurang jam 5 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi yang dijalankan serentak di beberapa jalan utama bandar Melaka bagi membanteras aktiviti mat rempit dan lumba haram.

"Tiga remaja yang ditahan itu berumur di antara 17 hingga 18 tahun dan siasatan lanjut ke atas mereka akan diteruskan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

"Dari jumlah saman yang dikeluarkan itu juga, sebanyak 19 saman membabitkan kesalahan tiada lesen memandu dan mereka yang terlibat akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat ini," katanya.

Operasi selama enam jam itu turut disertai tiga pegawai bersama 44 anggota polis terdiri daripada Cawangan Trafik, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan Unit Rondaan Berbasikal (URB).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :