PORT DICKSON - Sebanyak 1,496 karton rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai hampir RM100,000 tidak termasuk cukai dirampas polis dalam satu serbuan  pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, bertindak atas maklumat lebih kurang jam 11.00 malam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson melakukan serbuan di sebuah rumah di kawasan Ladang Sendayan.

Menurutnya, hasil serbuan polis menemui pelbagai rokok dan minuman keras.

"Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki India berusia 61 tahun dan dua elaki warganegara India berusia 42 dan 43 tahun dipercayai pekerja dan penjaga barang seludup berkenaan.

"Suspek berusia 61 tahun direman tiga hari manakala suspek warganegara India direman 12 hari termasuk siasatan di bawah akta Imigresen," katanya.

Zainudin berkata, berdasarkan siasatan polis, rokok dan minuman keras seludup itu dijual untuk pasaran tempatan di sekitar Port Dickson.

"Polis juga percaya barangan ini diseludup masuk  ke sini dari negara jiran, Indonesia.

"Dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) 1967 Akta Kastam" katanya lagi.