• Maik biayai pengajian A-Level Mohd Norhisham (kanan) memberi penerangan kepada lepasan SPM yang mengikuti jelajah promosi program pengajian asnaf di dewan bunga raya,Pantai Sri Tujoh.
1 /

TUMPAT – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan membiayai pengajian asnaf lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di beberapa institut pengajian tinggi terpilih kemasukan 2013.

Pegawai Tadbir Sekretariat Jawatankuasa Pendidikan Maik, Mohd Norhisham Abdullah berkata, untuk program A-Level dan sijil kemahiran dibiayai sepenuhnya Maik.

Katanya, bagi program diploma di KFC International College, Kampus Johor Bahru, Maik hanya memberi duit saku RM500 kepada pelajar yang terpilih.

“Pengajian A-Level adalah di Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin Selangor manakala program sijil kemahiran di Akademi Saga Shah Alam, Selangor (DRB-Hicom).

“Untuk program ini kemasukannya adalah pada Julai manakala untuk diploma kemasukannya pada Mei,” katanya selepas Jelajah Promosi Program Pengajian Asnaf Lepasan SPM anjuran Maik dengan kerjasama Pejabat Tanah Jajahan Tumpat di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujoh.

Mohd Norhisham berkata, anak-anak golongan asnaf yang layak boleh memohon dengan syarat untuk program A-Level sekurang-kurangnya memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM, untuk program diploma memperoleh tiga kredit dan untuk sijil kemahiran perlu lulus peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Sesiapa yang layak boleh memohon dengan syarat memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Keutamaan akan diberikan kepada anak-anak golongan asnaf di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, tarikh tutup permohonan adalah 31 Mei ini dan borang permohonan boleh didapati di pejabat Maik, di Lundang, Kota Bharu atau muat turun portal Maik www.e-maik.my.

Jelajah promosi itu diteruskan di Tanah Merah pada 23 Mei, di Kota Bharu pada 27 Mei, di Jeli pada 28 Mei, di Gua Musang pada 29 Mei dan Kuala Krai pada 30 Mei.