•  Muhammad Nizar Jamaluddin Mohammad Nizar Jamaluddin
1 /

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman fitnah RM50 juta oleh bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap TV3 membabitkan tweet beliau mengenai number pendaftaran kenderaan WWW 1 yang berjaya dibida oleh Sultan Johor.

Hakim Datin Yeoh Wee Siam berkata mesej tweet Mohammad Nizar jelas menyindir  bahawa Sultan Johor telah menggunakan dana awam untuk memperoleh numbor pendaftaran kenderaan WWW 1 dalam bidaan itu.

Beliau berkata mahkamah tidak bersetuju dengan cadangan Mohammad Nizar bahawa tweetnya perlu ditafsirkan berasaskan makna sebenar, dan dipisahkan daripada sebarang fakta yang diketahui, implikasi dan pemahaman biasa mereka yang berfikiran waras.

"Berdasarkan pertimbangan di atas, mahkamah menolak saman plantif terhadap defenden-defenden. Kos akan ditanggung oleh kedua-dua pihak," katanya.

Mohammad Nizar menyaman TV3 dan penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah, membabitkan ulasan beliau mengenai nombor plet itu, yang dibida pada harga RM520,000 oleh Sultan Johor, Mei tahun lepas.

"Mahkamah bersetuju dengan hujah defendan bahawa mesej tweet plantif, dibaca dan difahami oleh mereka yang berfikiran waras, jelas menyindir Sultan Johor bahawa baginda telah menggunakan dana awam untuk membida WWW 1," katanya.

Hakim juga memutuskan bahawa masih belum jelas dan sahih lagi mesej tweet Mohammad Nizar mencetuskan minat besar dalam kalangan masyarakat.

Hakim Yeoh berkata memang benar seperti hujah peguam defenden bahawa jika Sultan Johor menggunakan wang baginda sendiri untuk membida WWW 1, ia merupakan hak peribadi baginda.

"Ia memang wang baginda. Tidak timbul persoalan menggunakan wang itu untuk membantu orang ramai. Sultan hanya boleh dikritik jika bidaan baginda itu menggunakan dana awam," katanya.

Oleh itu, Hakim berkata mana-mana orang yang berfikiran waras akan memutuskan tweet Mohammad Nizar tidak secara langsung membayangkan atau mendakwa Sultan Johor telah menggunakan dana awam untuk membida nombor pendaftaran.

Beliau berkata jelas bahawa laporan berita itu mempunyai kepentingan awam dan defendan mempunyai tugas untuk meyiarkan berita mengenai mesej tweet plantif.

Hakim Yeoh berkata masa penerbitan itu sesuai memandangkan ia merupakan masa yang tepat ketika topik itu hangat dibincangkan dan orang ramai tidak sabar mendengar maklumat itu dan defendan jelas menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyampaikan berita pada masa yang tepat.

Hakim Yeoh bagaimanapun berkata defendan gagal menjalankan tanggungjawab kewartawanan kerana tidak mendapat pengesahan Mohammad Nizar terhadap tweetnya, dan kegagalan itu disebabkan oleh niat jahat di pihak defendan.

"Oleh itu mahkamah lebih cenderung untuk membenarkan defendan dilepaskan daripada sebarang liabiliti fitnah ke atas plantif," katanya.

Beliau berkata mahkamah mendapati pembelaan komen adil terhadap urusan yang melibatkan kepentingan awam sudah dibuat dengan jelas oleh defenden.

Selepas keputusan itu Mohammad Nizar memberitahu pemberita beliau akan berbincang dengan peguamnya serta melihat penghakiman sebelum memutuskan untuk membuat rayuan.

Peguam Mohd Fitri Asmuni dan Mohd Zamri Ibrahim mewakili Mohammad Nizar manakala Liew Teck Huat, Lim Qi Si dan Wee Jason mewakili defendan. - Bernama