• Lim Guan Eng Guan Eng (tiga,kanan) meninjau kawasan kejadian rod penebat kilat yang terjatuh di Jalan Macalister semalam.
1 /

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyediakan bantuan memperbaiki rumah yang rosak akibat kejadian ribut dan angin kencang yang berlaku petang semalam.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan mengadakan segera mesyuarat mengenainya selain menggerakkan semua agensi kerajaan untuk kerja pembersihan termasuk menebang pokok yang tumbang.

Menurutnya, perkara yang diberi keutamaan ialah memastikan semua rumah yang rosak diperbaiki semula dan laluan yang terpaksa ditutup dibuka semula secepat mungkin.

Beliau berkata, kakitangan jabatan terbabit dikehendaki bekerja lebih masa untuk membantu kerja pembersihan agar keadaan pulih seperti sedia kala.

"Kerajaan negeri akan beri bantuan memperbaiki bumbung rosak. Kontraktor akan dilantik secara langsung tanpa memanggil tender terbuka kerana ini adalah kecemasan.

"Mereka adalah kontrakator berpengalaman dan diyakini selama ini. Ia dibenarkan dalam peraturan kecemasan," katanya kepada media ketika melawat lokasi kejadian rod penebat kilat yang tercabut di Menara Umno di Jalan Macalister, di sini semalam.

Menurutnya, semua pemilik rumah yang mengalami kerosakan dikehendaki membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat tinjauan dan penilaian.

Sehingga kini, pihaknya menerima lebih 260 kes ribut yang mengakibatkan kerosakan kabel elektrik tetapi tiada maklumat mengenai jumlah rumah rosak akibat ribut.

Mengenai kejadian runtuhan rod penebat kilat di atas Menara Umno itu, Guan Eng berharap pemilik bangunan berkenaan akan melakukan kerja pembersihan segera termasuk menurunkan serpihan rasuk (beam) yang tergantung di atas bangunan.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada dua mangsa yang maut akibat bencana berkenaan dan berharap ahli keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini.

"Kita akan lihat bentuk bantuan yang perlu diberikan kepada mangsa terlibat," katanya.

Kejadian ribut dan angin kencang yang melanda di 21 kawasan di negeri ini petang kelmarin menyebabkan  dua orang maut dan lapan cedera.

Mangsa yang maut, Jahir Hussain Sulaiman, 40, adalah kelindan lori yang dihempap konkrit rod penebat kilat dari Menara Umno di Jalan Macalister dan Wong Tze Chow, 33, yang disahkan maut dihempap sebatang pokok berhampiran Empangan Air Itam di sini.

Difahamkan, Tze Chow adalah pekerja Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan ketika kejadian sedang menjalankan tugas di empangan itu.