PASIR PUTEH - Tiga beranak terpaksa tinggal dalam bahagian rumah yang dibina menggunakan zink buruk sebagai dinding dengan berlantaikan tanah selepas rumah utama mereka hampir musnah dimakan anai-anai.

Muhd Ali Yunus, 73, berkata, rumah yang didiami sejak lebih 20 tahun lalu bersama isteri, Mariam Deraman, 65, dan anak lelaki, Asri Ibrahim, 37, di Kampung Cheker, Gaal, semakin mereput.

Menurutnya, ada satu bahagian rumahnya dijadikan bilik tidur anak lelaki dan ruang tamu, manakala dia membina sambungan baharu untuk menyediakan dapur serta tempat tidurnya.

“Nak buat lantai simen, pak cik tak mampu, jadi pak cik hamparkan tikar dan karpet buruk di atas tanah. Zink-zink terpakai tu pak cik buat dinding.

“Dinding tak sempurna sampai ular berbisa dan biawak masuk rumah jadi perkara biasa. Syukurlah setakat ini tak ada perkara buruk berlaku,” katanya.

Muhd Ali berkata, dia pernah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi diberhentikan kerana didapati seorang lagi anaknya bekerja dengan kerajaan di Lembah Klang.

“Anak pak cik yang kerja kerajaan itu sudah lama tidak tinggal bersama, dia ada hantar duit tetapi tetap tidak cukup untuk pak cik tiga beranak ni.

“Loni (sekarang) pak cik noreh getah secara pawah, harga rendah sangat sampai nak dapat RM10 sehari pun susah. Tambah pula masa pak cik tak sihat, tak boleh nak menoreh,” katanya.

Muhd Ali menghidap penyakit kencing manis sementara Mariam langsung tidak boleh bekerja kerana sudah lama menghidap kencing manis dan darah tinggi sementara Asri bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu.

“Pak cik tak mimpi nak makan mewah macam orang lain. Pak cik nak cukup makan jah (sahaja) tapi masa tak dok duit, makan sekadar yang ada di dapur, makanlah nasi dengan budu pun.

“Pak cik harap ada pihak yang sudi membantu pak cik, nak juga merasa duduk selesa macam orang lain. Tak tahan sangat bila hujan banyak tempat bocor,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Muhd Ali di talian 013-6457838.