KOTA BHARU - Umno Kelantan melahirkan keyakinan bahawa Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak akan ‘memancing’ anggota lain untuk keluar meninggalkan parti itu.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, walaupun Mustapa belum menjelaskan keputusannya keluar parti Selasa lalu, beliau yakin bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tersebut masih menyayangi Umno.

“Saya tak terfikir perkara ini akan berlaku tapi kita hormati keputusan beliau atas prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini. Sehingga hari ini saya belum dapat jumpa beliau untuk mendengar penjelasan berhubung pengundurannya daripada Umno.

“Saya dan rakan-rakan ambil keputusan untuk tidak menuduh dan membuat andaian yang bukan-bukan kerana penjelasan perlu datang daripada beliau sendiri. Tapi saya yakin Tok Pa tidak akan mempengaruhi orang lain untuk meninggalkan parti dan bersama-sama beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat tertutup bersama Biro Politik Empat Peringkat Umno Kelantan di Bangunan Umno Kelantan di sini, hari ini.

Selasa lalu, Mustapa yang juga Anggota Parlimen Jeli mengumumkan keluar parti itu yang disertainya sejak 40 tahun lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa keluar Umno]

Mengulas isu berkaitan, Ahmad Jazlan menyanggah maklumat tular menerusi media sosial berhubung senarai anggota parlimen Umno termasuk namanya sebagai antara yang akan keluar parti dalam masa terdekat.

“Saya akan terus kekal dan istiqamah dengan perjuangan Umno kerana memenangi kerusi Parlimen Machang pada PRU14 lalu atas tiket BN.

“Saya tak boleh mengkhianati amanah parti dan rakyat yang pilih saya atas nama Umno (dan BN). Saya akan terus istiqamah dengan perjuangan Umno sehingga ke penghujungnya,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan antara Pas dan Umno ketika ini, Ahmad Jazlan berkata tiada sebarang ikatan kukuh dilakukan antara kedua-dua parti setakat ini dan masing-masing memilih untuk bersama-sama dalam beberapa isu semasa.

“Selebihnya kita akan akur dan menyerahkan mandat kepada presiden untuk masa depan kedua-dua parti untuk menghadapi PRU15,” katanya. - Bernama