KOTA BHARU - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin tidak layak untuk mengkritik institusi tahfiz apatah lagi memberikan cadangan agar ia ditutup.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad berkata, pandangan sebegitu tidak sepatutnya datang dari pemimpin sepertinya dan sekiranya ada kekurangan ia perlu diperbaiki bukannya ditutup.

Menurutnya, bekas menteri itu tidak boleh menghukum secara keseluruhan seandainya terdapat hanya salah satu tahfiz yang terlibat dengan sesuatu perkara.

“Tokoh ini bukan bidang dia mahu kritik tahfiz. Nak baiki tahfiz kena rujuk pihak berkaitan dan juga kementerian.

“Kalau dia anggap sekolah tahfiz ini jumud, ada juga mereka yang lahir dari universiti begitu.

Jadi jangan buat kenyataan umum sebegini,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Hari Terbuka NGO Islam dan Majlis Sambutan Hari Raya  Aidilfitri 2018 dan Perbincangan Meja Bulat Ahli Jawatankuasa Majlis Amal Islam Malaysia (MAIM) Kelantan.

Tahun lalu, Zainuddin juga pernah mengeluarkan pandangan seumpama itu dan Yusri berpandangan perkara berkaitan tahfiz tidak perlu dipolitikkan.

Sambil menyifatkan kenyataan Zainuddin itu terlalu radikal, Yusri juga menganggap ia sebagai satu ujian kepada kerajaan baharu dalam menyelesaikan perkara itu.

Dalam pada itu hari ini, Menteri  di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menolak cadangan berkenaan dan berpandangan sepatutnya beliau membuat homework serta melihat sumbangan para huffaz.