BACHOK – Seorang lelaki dan seorang kanak-kanak warganegara Myanmar maut apabila dihempap pokok dalam kejadian di Pantai Irama kira-kira jam 7.23 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata, dalam kejadian itu mangsa, Norjim Nurul Amin,24, yang bekerja sebagai pengutip besi buruk telah ke pantai untuk bersantai bersama beberapa ahli keluarganya yang lain.

Cuaca yang tidak begitu baik dengan angin kuat telah menyebabkan sebatang pokok tumbang dan menghempap mangsa yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan seorang ahli keluarga mangsa, Ibrahim Budi Alam berusia tiga tahun turut meninggal dunia akibat tragedi itu.

“Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas dahan pokok tumbang itu menimpa mereka,” katanya kepada Sinar Harian tadi.

Azmi berkata,mangsa dan ahli keluarganya yang lain datang dari Kampung Babong Kedai Lalat, Kota Bharu untuk beriadah sempena cuti perayaan ini.

Difahamkan, Norjim adalah pemegang kad UNCHR dan jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan selanjutnya.